JOHOR BAHRU – Sehingga kini tiada waris atau keluarga menuntut mayat kanak-kanak perempuan yang ditemukan terapung di Sungai Skudai di belakang sebuah pusat beli-belah di Jalan Sutera Danga di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, perkembangan itu menyebabkan identiti kanak-kanak berkenaan masih kabur.
Malah maklumat berkaitan keluarga kanak-kanak tersebut juga tidak diketahui sehingga kini.
“Setakat ini tiada maklumat berkaitan identiti kanak-kanak berkenaan mahupun keluarganya.
“Bagaimanapun kita masih meneruskan usaha bagi mengenal pasti identiti mayat kanak-kanak perempuan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam media melaporkan seorang kanak-kanak ditemukan terapung di Sungai berkenaan selepas ditemukan seorang warga emas sebelum membuat laporan polis.
Kanak-kanak perempuan itu dipercayai berusia antara lima hingga tujuh tahun, memakai gelang kaki pada kaki kiri yang mempunyai logo ‘love’ dengan tulisan IV.
Mengulas lanjut, Balveer Singh berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.
Polis menyeru mana-mana individu yang menyedari kehilangan anak atau ahli keluarga yang seusia mangsa diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut.
Orang ramai memiliki maklumat terkini berkenaan kes itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara 07-5563122.- MalaysiaGazette
















