KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli diharap tetap meneruskan perjuangan beliau di kawasan Parlimennya meskipun sudah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi, berkuatkuasa 17 Jun depan.
Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan turut merakamkan penghargaan terhadap khidmat yang telah dicurahkan Ahli Parlimen Pandan itu kepada negara.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pihak agar tidak bergembira atas kesedihan orang lain.
“Jangan kita gembira terhadap kedukaan orang lain. Itu nasihat kepada saya oleh seseorang.
“Selamat meneruskan perjuangan atas pentas yang lain contohnya sebagai Ahli Parlimen Pandan,” tulisnya lagi menerusi platform X.
Semalam, Rafizi mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan dari Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa dari 17 Jun 2025 dan bermula semalam beliau akan menghabiskan cuti tahunan sehingga 16 Jun.
Rafizi yang gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah dalam pemilihan parti itu baru-baru ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang telah memberi dukungan penuh kepadanya sepanjang beliau di kementerian tersebut.
Rafizi dalam siri kempen HIRUK sebelum pemilihan PKR pernah berjanji akan meletakkan jawatan jika tewas dalam pemilihan. – MalaysiaGazette
















