JOHOR BAHRU – Polis memberkas 14 lelaki warga asing selepas serbuan di sebuah banglo di Batu Pahat, Ahad lalu yang menjalankan operasi calling center penipuan tawaran kerja secara dalam talian dengan menyasarkan mangsa dari Russia.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pasukan dari Bahagian Risikan/Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melakukan serbuan tersebut pada pukul 5.15 pagi.
“Dalam serbuan yang dijalankan, 15 lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan 14 warga negara asing berusia 21 hingga 38 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
“Menerusi pemeriksaan yang dijalankan, pusat penggilan itu menjalankan penipuan tawaran kerja atau job scam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak polis merampas peralatan yang digunakan dalam aktiviti itu seperti 14 unit komputer riba dan 19 unit telefon bimbit, anggaran nilai rampasan RM30,000.
Menurut Kumar, berdasarkan siasatan sindiket itu telah memulakan operasi pada Mac lalu dengan menawarkan tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud.
Suspek katanya, menyasarkan mangsa dari Russia dan didapati menggunakan kecerdasan buatan (AI) semasa berkomunikasi dengan mangsa.
Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 420 dan 120B (2) Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk nasihat dan pihak polis diarahkan untuk mendapatkan beberapa keterangan lain bagi menguatkan keterangan kes,” katanya.
Pihak polis memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjadikan Johor sebagai tapak untuk menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang.- MalaysiaGazette
















