GOMBAK – Sebanyak 222,331 gram syabu bernilai RM7.1 juta dirampas dalam satu serbuan di sebuah gudang penyimpanan kereta, di sini, 14 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, serbuan di gudang terbabit dilakukan kira-kira pukul 9.30 malam.
Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui 212 bungkusan plastik mengandungi dadah jenis syabu dalam sebuah kereta Toyota Vios yang ditinggalkan di gudang berkenaan.
“Siasatan lanjut dibuat membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ (penghantar) dadah berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.
Menurut Noor Ariffin lagi, pihaknya percaya kesemua dadah yang dirampas diperolehi dari negara jiran untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
Tambahnya, semakan turut mendapati, suspek yang bekerja sebagai penjual kereta terpakai itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan hasil ujian sarangan air kencing lelaki itu negatif dadah.
“Kami sedang mengesan saki baki sindiket ini. Suspek direman selama 12 hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan lainNoor Ariffin memaklumkan, pihaknya menahan pasangan kekasih bersama rampasan dadah ganja seberat 2,072 gram yang ditemui dalam sebuah kereta Honda City di Desa Jaya, di sini, kelmarin.
Jelasnya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun bersama kekasihnya iaitu wanita warga tempatan berusia 47 tahun.
“Pemeriksaan dilakukan dalam kenderaan itu menemui dua plastik berisi daun kering dipercayai ganja seberat 2,072 gram yang dianggarkan bernilai RM6,423.
“Siasatan awal dilakukan mendapati dadah berkenaan dipercayai bagi pasaran di sekitar daerah ini,” katanya.
Beliau menambah, suspek lelaki yang ditahan merupakan seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan didapati masuk ke Malaysia sejak 2016, manakala suspek wanita pula bekerja sebagai eksekutif insurans.
Katanya, semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek tiada rekod kesalahan lampau dan urin urin yang dilakukan mereka negatif dadah.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 3 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952.
“Keseluruhan dadah yang dirampas bagi kedua-dua kes berkenaan boleh dibekalkan kepada 226,475 penagih dadah,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















