Oleh Ismail Hashim Yahaya
PELETAKAN jawatan Menteri kabinet, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli serta Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kepimpinan PKR mengemukakan dampak dan cabaran besar kepada parti itu dalam era politik digital yang semakin dominan.
Tidak keterlaluan jika dikatakan kepimpinan dalam parti politik kini bukan sahaja ditentukan melalui proses dalaman tetapi juga dipengaruhi oleh reaksi dan naratif yang terbentuk dalam ruang digital.
Platform seperti Facebook, Twitter dan TikTok telah menjadi medan utama bagi masyarakat untuk membincangkan dan menilai keputusan politik termasuk peletakan jawatan kedua tokoh-tokoh utama tersebut.
Dalam konteks ini, PKR menghadapi cabaran besar untuk mengurus peralihan kepimpinan secara efektif sambil mengawal naratif negatif yang tersebar di media sosial.
Politik digital telah mengubah cara rakyat memahami dan bertindak balas terhadap keputusan politik menjadikan strategi komunikasi digital sebagai elemen yang kritikal dalam memastikan kestabilan parti.
Dampaknya dapat dilihat kepada transformasi naratif politik di media sosial. Media sosial berfungsi sebagai ruang utama di mana perbincangan politik berlaku secara terbuka.
Peletakan jawatan dua pemimpin utama PKR ini telah mencetuskan pelbagai reaksi, baik dalam kalangan penyokong mahupun pengkritik mereka.
Dalam dunia politik digital, naratif yang terbentuk dalam media sosial memainkan peranan penting dalam menentukan bagaimana sesuatu peristiwa politik difahami dan dinilai oleh masyarakat.
Naratif politik yang berkembang tidak hanya terbatas kepada fakta, tetapi sering kali dipengaruhi oleh sentimen, persepsi dan strategi komunikasi pihak-pihak berkepentingan.
Dalam kes peletakan jawatan ini, terdapat pelbagai tafsiran yang muncul sesetengah pihak melihatnya sebagai tanda ketidaktentuan dalam PKR manakala yang lain menganggapnya sebagai strategi penyusunan semula kepimpinan bagi menghadapi cabaran baru.
Pasca kepada perletakan jawatan kedua pemimpin ini memberi ruang kepada pemimpin lain dalam PKR untuk tampil dan membina sokongan melalui kempen digital.
Dalam politik moden, pemimpin yang berjaya bukan sahaja mereka yang mempunyai rekod pengalaman yang baik tetapi juga mereka yang mampu memanfaatkan media sosial untuk menyampaikan visi dan menarik sokongan rakyat.
Kempen digital yang berkesan boleh membantu PKR menampilkan calon-calon yang berpotensi dengan cara yang meyakinkan dan strategik.
Jika dilakukan dengan baik, ia boleh mengubah persepsi rakyat daripada melihat peletakan jawatan ini sebagai ketidaktentuan kepada satu peluang bagi penyegaran kepimpinan parti.
Walau bagaimanapun, sekiranya PKR gagal mengawal naratif ini, ia boleh menyebabkan ketidaktentuan berterusan yang melemahkan kestabilan parti menjelang pilihan raya.
Oleh itu implikasi politik pasca-perletakan jawatan diharapkan tidak menyemarakan penyebaran berita palsu dan propaganda digital boleh mempengaruhi pandangan rakyat terhadap sesuatu isu.
Dengan adanya teknologi kecerdasan buatan dan algoritma media sosial, maklumat boleh dipaparkan mengikut kecenderungan individu sekali gus mencipta gelembung maklumat yang mengukuhkan kepercayaan seseorang terhadap naratif tertentu
Jika dibiarkan berterusan ia menyebabkan polarisasi yang lebih ketara dalam kalangan masyarakat dan ahli PKR. Dengan naratif yang beremosi dan sering kali bersifat ekstrem jurang antara kumpulan yang berbeza semakin melebar, mengurangkan ruang bagi dialog yang konstruktif.
Pemimpin PKR perlu lebih bijak dalam menangani gelombang maklumat digital agar tidak terperangkap dalam permainan persepsi. Keupayaan untuk mengurus imej dan membina komunikasi yang telus amat penting dalam mengekalkan kepercayaan rakyat.
Ketidakstabilan dalaman boleh memberi kesan negatif kepada imej PKR di mata rakyat terutamanya jika peralihan kuasa tidak dikendalikan dengan baik.
Perpecahan dalaman dan ketidaktentuan dalam struktur kepimpinan boleh mencetuskan kelemahan dalam strategi politik parti dan memberikan ruang kepada pihak lawan untuk memanfaatkan keadaan ini.
Dalam konteks politik digital, PKR perlu memastikan bahawa komunikasi dengan rakyat berjalan dengan baik dan tidak membiarkan kekosongan kepimpinan menjadi bahan spekulasi yang boleh merosakkan imej parti.
Penjelasan yang jelas dan telus tentang hala tuju kepimpinan baharu perlu dibuat secara konsisten agar PKR dapat mengekalkan sokongan di kalangan pengundi terutamanya para penyokong Rafizi dan Nik Nazmi.
Oleh itu, kepimpinan PKR perlu mengurus peralihan ini dengan bijak memastikan bahawa persaingan kuasa dalam parti tidak membawa kepada konflik yang melemahkan organisasi.
Dengan strategi komunikasi yang telus dan berkesan, PKR boleh menggunakan politik digital sebagai alat untuk memperkukuh imej parti dan memastikan bahawa peralihan kepimpinan ini membawa kepada perkembangan positif dalam perjuangan mereka.
Dalam dunia politik yang semakin kompleks dan dipengaruhi oleh media sosial, kebolehan mengawal persepsi dan memanfaatkan strategi digital akan menjadi faktor penentu dalam kejayaan parti pada masa hadapan.
Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa
-MalaysiaGazette
















Bercakap pasal formula berdegar2, akhirnya semua songsang, kelaut, janji2 semua tipu. Padu gagal. Bila semua gagal, jalan terbaik elak tanggungjawab adalah resign?
Apa deliverables untuk B40 terutamanya? Yilekkk. Seeloknya debelum resign, minta maaf dengan rakyat sebab banyak sangat menipu?