Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali.

KUALA LUMPUR – Dua sindiket penipuan panggilan berjaya ditumpaskan menerusi serbuan berasingan yang dijalankan serentak di Kajang dan Cheras, 13 Mei lalu

Modus operandi kedua-dua sindiket antarabangsa itu dikesan hampir sama iaitu dengan menyamar pegawai polis Jepun dilengkapi seragam, vest, lencana dan skrip soal siasat yang tersusun.

Suspek yang disyaki terlibat di dalam dua sindiket antarabangsa yang menyasarkan rakyat Jepun dalam kegiatan penipuan telefon (phone scam) berjaya ditumpaskan menerusi serbuan berasingan yang dijalankan serentak pada 13 Mei lalu di Kajang, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur.

Penyamaran itu bertujuan untuk memperdaya mangsa dan mendedahkan maklumat peribadi serta memindahkan wang ke akaun milik sindiket.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Sri Muhammed Hasbullah Ali berkata serbuan pertama di sebuah banglo tiga tingkat di Kajang berjaya menahan lapan orang lelaki, enam warga Jepun dan dua warga China ditahan.

Kesemua mereka yang dipercayai ejen pusat panggilan berkenaan berusia di antara 23 hingga 56 tahun dan sindiket itu juga telah beroperasi sejak dua bulan lalu.

“Mereka adalah kumpulan yang sangat terlatih. Taktik mereka melibatkan penghantaran SMS mendakwa kad bank mangsa telah ditemui dalam kes siasatan oleh Polis Osaka.

“Kemudiannya, sindiket akan menggunakan teknik caller ID spoofing mangsa akan dihubungi menggunakan aplikasi Bria Mobile yang membolehkan nombor rasmi pihak berkuasa dipalsukan.

“Mangsa yang termakan helah akan diarahkan menyerahkan maklumat peribadi dan membuat pemindahan wang. Malah, ada antara mereka turut diarahkan melaporkan pergerakan harian kepada pihak sindiket,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam serbuan itu, tujuh unit iPad, satu komputer riba, sembilan telefon bimbit, sembilan modem, satu set skrip dan satu rangkaian kunci telah dirampas dengan nilai keseluruhan bernilai RM25,000.

Setakat ini, dua warga China yang terlibat telah dituduh di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 pada 22 Mei lalu manakala enam warga Jepun pula akan dihadapkan ke mahkamah pada 3 Jun ini.

Sementara itu, dua lelaki warga Taiwan dipercayai terlibat sindiket menyasarkan warga Jepun telah ditahan di sebuah unit kondominium di Cheras.

Susulan itu, satu lagi serbuan di unit lain di kondominium yang sama telah membawa kepada penahanan tujuh lelaki warga Jepun serta dua lagi warga Taiwan, seorang lelaki dan seorang wanita.

“Kami percaya kedua-dua sindiket ini mempunyai kaitan antara satu sama lain berikutan modus operandi hampir sama.

“Sindiket di Cheras ini telah aktif sejak April tahun ini dan mereka menggunakan aplikasi Bria Mobile, Got Further serta platform face swap untuk menyamar sebagai pegawai polis dan memperdaya mangsa memindahkan wang ke akaun kripto,” tambahnya.

Antara barangan yang dirampas termasuk pakaian seragam Polis Jepun.

Dalam serbuan itu, pelbagai peralatan elektronik, pakaian seragam Polis Jepun, lencana, skrip soal siasat dan peralatan rangkaian telah dirampas dengan anggaran RM20,000.

Setakat ini, tiga warga Taiwan itu telah didakwa di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dengan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 pada 16 Mei lalu manakala lapan lagi telah dijadikan saksi.

Pihaknya juga sedang giat bekerjasama dengan pihak Polis Jepun bagi mengenal pasti sumber pakaian seragam mereka dan bagaimana ia diseludup masuk ke negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast