KUALA LUMPUR – China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selesai melakukan pemasangan Sistem Komunikasi, Informasi dan Semboyan (sistem CIS) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Stesen ECRL KotaSAS, dekat Kuantan.
Kejayaan ini menandakan satu pencapaian penting dalam pelaksanaan berperingkat teknologi rel canggih sepanjang jajaran sepanjang 665 kilometer.
Sistem CIS merupakan komponen utama dalam sistem kejuruteraan ECRL secara keseluruhan yang memainkan peranan penting dalam memastikan operasi kereta api yang selamat, efisien dan terjamin melalui fungsi seperti perlindungan tren automatik, kawalan trafik serta penyampaian maklumat penumpang secara masa nyata.
Pengarah Urusan CCC-ECRL Deng Bo berkata, sistem CIS sering digambarkan sebagai sistem saraf dan otak kepada operasi rel. Stesen ECRL KotaSAS merupakan stesen pertama yang dilengkapi dengan komponen kritikal ini dalam operasi ECRL.
Penilaian Artikel Pertama ini berfungsi sebagai asas utama bagi pengesahan kebolehlaksanaan pembinaan serta penetapan piawaian kualiti, menjadi landasan bagi pemasangan sistem di 20 stesen ECRL yang merentasi dari Kota Bharu ke Port Klang.
Pemasangan sistem bermula pada 15 Mac 2025 dan telah disiapkan pada 20 Mei 2025.
Sistem kejuruteraan di Stesen KotaSAS disokong oleh empat bilik teknikal utama, yang masing-masing memegang peranan khusus dan kritikal.
Kemudahan tersebut merangkumi pengurusan rangkaian komunikasi, sistem data dan pengawasan, kawalan pergerakan tren, sambungan
kabel serta perlindungan kilat.
Kesemua fungsi ini beroperasi secara sinergi bagi memastikan operasi rel di stesen tersebut berjalan lancar, stabil dan selamat.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, sistem CIS merupakan komponen penting dalam projek ECRL dan memainkan peranan yang amat penting dalam fasa operasi dan penyelenggaraan (O&M) infrastruktur rel ini.
Gabungan sistem ini bukan sahaja menggerakkan tren dan stesen, malah memastikan operasi tren yang selamat, cekap dan boleh dipercayai—dari segi perlindungan tren automatik dan kawalan trafik sehingga penyampaian maklumat penumpang secara masa nyata.
“Majlis hari ini menandakan satu proses penilaian yang telus dan menyeluruh terhadap Sistem Kejuruteraan ECRL sebagai model penanda aras yang akan digunakan di seluruh rangkaian ECRL yang melibatkan 20 stesen.
“Proses kritikal ini memastikan setiap elemen memenuhi piawaian tertinggi dari segi kualiti, kebolehoperasian bersama dan pematuhan bagi
pengendali rel,” tambah beliau lagi, sambil menyatakan bahawa ECRL kini sedang bersiap sedia untuk fasa ujian dan pentauliahan menjelang Jun 2026,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Setakat April 2025, projek ECRL telah mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 82.45 peratus, dengan kerja-kerja pembinaan di negeri Pahang mencapai kadar penyempurnaan sebanyak 84.96 peratus. – MalaysiaGazette
















