JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor mencekup 114 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan Op Mahir yang dilaksanakan serentak di lima daerah.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, penahanan itu dibuat hasil pemeriksaan terhadap 511 individu di sembilan buah kilang di Johor Bahru, Muar, Segamat, Mersing dan Batu Pahat kelmarin.
“Warga asing yang ditahan membabitkan 44 warga Bangladesh, 28 warga Nepal, sembilan warga Pakistan, lapan warga India, 14 warga Myanmar (enam lelaki, enam wanita), lapan warga Indonesia (enam lelaki, dua wanita), empat warga Vietnam (tiga lelaki, satu wanita) dan seorang wanita warga Kemboja.
Turut ditahan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun yang merupakan pemilik syarikat, pengurus gudang dan pengurus syarikat pembekalan pekerja asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semua warga asing yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Majikan warga tempatan pula ujarnya, ditahan mengikut kesalahan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi PATI dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 atau tinggal di dalam premis.
“Sebanyak 10 notis temu siasat turut dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan bagi membantu siasatan,” tambahnya.
Menurutnya lagi, kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru PATI yang layak supaya mengambil peluang menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) yang dibuka sehingga 30 April 2026 untuk pulang ke negara asal secara sukarela.- MalaysiaGazette
















