KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mengibaratkan pihak-pihak yang mengeluarkan kenyataan fitnah berkaitan isu sentimen agama, seolah-olah `bermain dengan api’.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, sebagai negara yang mempunyai pelbagai kaum dan agama, pihak yang mengaitkan sentimen sedemikian amat membahayakan apatah lagi melibatkan kenyataan fitnah.
Sehubungan itu, beliau berharap buku biografinya “Becoming Hannah: A Personal Journey”, tidak akan dikaitkan lagi dengan unsur agama.
“Saya percaya fitnah itu dilarang dalam agama Islam. Lama saya difitnah, saya berterima kasih kepada semua yang mendoakan saya.
“Saya bersyukur kerana keadilan berpihak kepada saya apabila keputusan Mahkamah Tinggi hari ini membuktikan segala tuduhan yang dilemparkan terhadap saya dan buku itu adalah tidak benar,” ujarnya ketika ditemui wakil media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan saman beliau yang difailkan terhadap pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Kamarul Zaman Yusoff berhubung kenyataan fitnah berkaitan buku berkenaan.
Hakim Aliza Sulaiman memerintahkan pensyarah itu yang juga penganalisis politik membayar ganti rugi berjumlah RM400,000 dan kos RM80,000.
Berdasarkan saman yang difailkan pada 2022, Hannah selaku plaintif berkata Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei 2017 yang mendakwa beliau (Hannah) mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.
Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah “Becoming Hannah: A Personal Journey” dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.
Sementara itu, Kamarul Zaman dalam kenyataan berkata, beliau akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut.
Beliau mengemukakan rayuan kerana tidak bersetuju dengan dapatan serta asas penghakiman yang telah membawa kepada keputusan tersebut.
“Saya menghormati keputusan mahkamah. Walau bagaimanapun, pada masa sama saya tidak bersetuju dengan dapatan yang membawa kepada keputusan tersebut,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama peguamnya yang telah memberikan sokongan sepanjang prosiding perbicaraan selain meminta agar semua pihak memberi ruang secara menyeluruh di peringkat rayuan nanti. – MalaysiaGazette
















