KUALA LUMPUR – Mural wajah Negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad pada dinding salah sebuah bangunan di Medan Seni, Alor Setar, Kedah dipadam kerana bangunan itu terlibat dengan kerja-kerja pengubahsuaian (renovasi).
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, pemilik bangunan berkenaan telah mendapat kebenaran untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih itu yang turut melibatkan dinding yang memaparkan mural Dr Mahathir, yang keadaannya telah lusuh dan mengalami pengelupasan cat yang ketara.
Jelasnya, pihak pemilik telah mengambil langkah membaiki keseluruhan struktur dinding, termasuk mengecat semula permukaan tersebut bagi tujuan keselamatan dan estetik bangunan.

Tambah beliau, MBAS memandang serius terhadap nilai seni dan penghargaan kepada tokoh Negarawan seperti Dr Mahathir.
Sehubungan itu, katanya, usaha sedang dilaksanakan untuk mewujudkan semula mural berkenaan, sama ada dengan lukisan baru atau menggantikan mural asal pada lokasi yang bersesuaian.
“Berhubung dengan perkara yang tular baru-baru ini, pihak MBAS ingin menegaskan bahawa isu ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan unsur-unsur yang tidak baik mahupun berkaitan dengan mana-mana agenda politik.
“Segala tindakan dan keputusan yang diambil adalah semata-mata berdasarkan pertimbangan profesional serta berpandukan garis panduan yang telah ditetapkan untuk memastikan karya-karya sebegini dapat diraih sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial kehilangan mural wajah Dr. Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri pada dinding di sebuah bangunan di Pekan Melayu, Alor Setar sehingga mencetuskan tanda tanya.
Mural itu disiapkan tiga pelukis iaitu Mustakim Ismail, 24; Abdul Qoyyum Mohd Nadzri, 22, dan Mohd Zulfadli Ahmad Nawawi, 29 pada Jun 2015 bagi mengenang jasa Negarawan berkenaan.
Dalam pada itu, Abdul Gafar memohon semua pihak tidak membuat spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan keharmonian.
Tegas beliau, MBAS komited untuk terus bertindak secara telus dan bertanggungjawab dalam semua urusan.
“Pihak MBAS amat menghargai pandangan dan keprihatinan semua pihak serta berharap kerjasama berterusan daripada komuniti seni dan pemilik bangunan dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















