Keadaan bangkai trak FRU dan lori muatan batu dalam nahas jalan raya yang mengorbankan sembilan mangsa termasuk anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus - Sungai Lampan, Teluk Intan, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 MEI 2025. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan lesen pengendali bagi Tashveen Trading, syarikat lori yang membawa muatan batu kerikil yang terlibat dalam nahas dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sehingga mengorbankan sembilan nyawa.

Agensi itu dalam kenyataannya berkata, pembatalan lesen tersebut berkuatkuasa serta-merta mulai semalam, 29 Mei 2025.

Katanya keputusan tersebut diambil setelah siasatan APAD mendapati syarikat berkenaan gagal memenuhi syarat lesen yang diperuntukkan di bawah Seksyen 57(1)(b)(iii) dan Seksyen 58(1)(b).

Tashveen Trading juga katanya, gagal memberikan akses kepada rekod sepertimana di bawah Seksyen 210(1)(a) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715], serta melanggar Perkara 11, Perkara 22 dan Perkara 30 Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) Kenderaan Barangan.

Tambah kenyataan itu lagi, syarikat pengendali lori itu juga gagal mematuhi keperluan Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP), gagal memastikan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) berfungsi dan telah tamat tempoh.

Lori berkenaan turut didapati membawa muatan yang menyalahi jenis barang yang ditetapkan dalam permit kenderaan tersebut dan tidak mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Dengan terbatalnya Lesen Pengendali berkenaan, syarikat tersebut tidak dibenarkan untuk mengendali atau mengadakan sebarang perkhidmatan menggunakan mana-mana kenderaan yang dilesenkan di bawah Lesen Pengendali Berkenaan.

“APAD ingin menegaskan pendirian bahawa tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang menyebabkan kemalangan dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Sehubungan itu, APAD menasihatkan semua pengendali berlesen wajib mematuhi syarat-syarat lesen yang ditetapkan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, yang seterusnya boleh menyebabkan lesen dibatalkan.

Katanya, APAD sentiasa komited untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam darat yang holistik, cekap, efisien, selamat dan berdaya saing, demi manfaat rakyat, selaras dengan Nilai Teras Malaysia Madani, iaitu kesejahteraan dan ihsan.

Pada 13 Mei lalu, sembilan anggota FRU meninggal dunia selepas trak yang dinaiki 18 orang anggota dar Unit 5 Sungai Senam, Ipoh terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Sungai Lampam, Simpang Tangki Air, Langkap, Teluk Intan, Perak. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Stereng lori pasir rosak punca rempuh lori FRU

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast