KUALA LUMPUR – Tiga lagi individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri ditahan bagi siasatan lanjut kes penipuan pelaburan MBI menerusi Op Northern Star.
Sehingga kini jumlah keseluruhan tangkapan seramai 17 orang.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, ketiga-tiga suspek direman antara lima hingga sembilan hari bagi membantu siasatan mengikut undang-undang yang ditetapkan.
“Mereka ini terdiri daripada individu yang terbabit secara langsung dalam urusan perniagaan MBI, termasuk sebagai rakan kongsi dan proksi dalam pelbagai cabang perniagaan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Tangkapan tersebut dibuat oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Ketua Polis Negara, Bukit Aman antara 1 Mei hingga 17 Mei lalu hasil maklumat baharu yang diperoleh sepanjang siasatan dijalankan.
Tambahnya, siasatan mendapati MBI menjalankan operasi melibatkan pelbagai jenis perniagaan yang sah secara zahir termasuk syarikat tersenarai awam, syarikat sendirian berhad, pemaju hartanah, serta syarikat berdaftar di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Namun, ia dipercayai menjadi saluran bagi sindiket untuk mengaburi aktiviti pengubahan wang haram.
Beliau turut mengesahkan setakat ini belum ada ahli politik yang dikesan terlibat, tetapi tidak menolak kemungkinan jika siasatan lanjut menemui pembabitan mana-mana individu berkepentingan.
“Kita sangat telus dalam menjalankan siasatan. Jika ada ahli politik terlibat, kita tidak akan menyembunyikannya.
“Tetapi buat masa ini, siasatan menunjukkan penglibatan mereka yang terbabit hanya tertumpu kepada sektor perniagaan,” tambahnya..
Susulan tangkapan itu, polis membeku dan menyita pelbagai aset mewah yang dipercayai hasil perolehan haram daripada skim pelaburan MBI.
Antara aset yang dirampas termasuk kapal layar, bot penumpang, hartanah, akaun bank, wang tunai, kenderaan mewah, jam tangan berjenama, telefon bimbit serta pelbagai dokumen berkaitan.
Jumlah keseluruhan aset yang dibekukan dan disita dalam operasi setakat ini dianggarkan mencecah RM3.81 bilion, termasuk rampasan terbaharu bernilai RM527.4 juta.
Tindakan itu dilaksanakan di bawah Seksyen 44(1), Seksyen 45(2) dan Seksyen 52(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Selain itu, lima lagi syarikat turut disita berkaitan dengan sindiket, termasuk syarikat pengurusan ladang durian, pemaju hartanah dan hotel, menjadikan lapan syaikat disita setakat ini.
Hasbullah memberitahu, kapal layar mewah yang dirampas digunakan secara peribadi oleh ahli perniagaan terlibat dan bukan untuk disewakan.
“Secara tidak langsung, ia membuktikan kekayaan luar biasa mereka hasil kegiatan haram yang disalurkan melalui pelaburan dan pembangunan perniagaan.
“Kami akan terus komited membanteras aktiviti pengubahan wang haram di negara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggunakan saluran perniagaan untuk menutup kegiatan jenayah kewangan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat untuk terus berwaspada dan menjauhkan diri daripada aktiviti pelaburan mencurigakan serta sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memerangi jenayah kewangan yang semakin licik dan kompleks. – MalaysiaGazette
















