MELAKA – Seorang pemandu e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan merompak kedai emas dan mencederakan seorang wanita warga emas, minggu lalu.
Tertuduh, Melvin Yen Wei Shern, 29, mengaku bersalah sebaik pertuduhan berkenaan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mahkamah bagaimanapun menangguhkan kes untuk fakta dan hukuman pada 10 Jun depan selepas dipohon pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja mencederakan seorang wanita warga emas berusia 70 tahun di Kedai Emas Tai Kwong, Kampung Jawa dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 11 pagi 22 Mei lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh yang diwakili peguam Kent Tan Chow Teng.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan jaminan dan kes ditetapkan pada 10 Jun depan untuk fakta dan hukuman. – MalaysiaGazette
















