Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 63, Lebuhraya Utara Selatan, Kluang kelmarin.

KLUANG – Seorang lelaki yang sedang menghubungi pihak Lebuhraya Utara Selatan Berhad (Plus) untuk meminta bantuan selepas treler dipandu rosak di tepi jalan, terkejut apabila kenderaan berat itu dilanggar sebuah motosikal dari belakang.

Treler berkenaan yang dilanggar motosikal tersebut di Kilometer 63, lebuhraya berkenaan arah utara di sini kelmarin, menyebabkan penunggang terbabit cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pukul 10.20 malam melibatkan treler jenis Scania, motosikal Honda ADV160 dan enderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX5.

“Siasatan mendapati treler tersebut yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Sepang telah mengalami kerosakan dan diletakkan di lorong kecemasan dengan dipasang kon di belakang treler.

“Semasa pemandu treler sedang menghubungi pihak Plus, tiba-tiba motosikal tersebut ditunggang seorang lelaki berusia 23 tahun yang berada di laluan yang sama melanggar bahagian belakang treler tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, motosikal terbabit kemudian terjatuh di lorong kanan laluan sama dan dilanggar SUV berkenaan dipandu lelaki berusia 35 tahun yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke bandar Melaka.

Susulan itu katanya, penunggang terbabit cedera parah di bahagian kepala dan badan lalu meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau memberitahu, pemandu treler dan SUV berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa di atas jalan raya supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerusi hotline 07-7784222, 07-7766822 atau direct line 07-7784256 atau 014-365682.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast