Ahmad beramah mesra dengan tetamu sebelum merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Tanjung Piai, Pontian hari ini.

PONTIAN – Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melantik Menteri Ekonomi baharu sebelum pelan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dibentangkan pada Julai ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana RMK13 merupakan dokumen penting yang perlu diurus dengan baik dan teliti sebelum dibentangkan di Parlmen.

“Rancangan Malaysia ke-13 itu telah disediakan oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan kebiasaannya dibentangkan oleh Perdana Menteri.

“Bagaimanapun, pelantikan Menteri Ekonomi baharu itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Tanjung Piai, di sini, hari ini.

Pada Mac lalu, Kementerian Ekonomi dilaporkan sedang memuktamadkan penyediaan dokumen RMK-13 yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Julai.

Sementara itu, Ahmad memberi penghargaan kepada Rafizi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik yang telah berkhidmat.

“Sebagai kawan saya mengucapkan terima kasih atas segala khidmat mereka. Keputusan mereka itu adalah keputusan dalaman parti mereka,” katanya.

Pada Rabu lalu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai depan selepas mereka tewas pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 minggu lalu.

Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar manakala Nik Nazmi kalah pada pemilihan bagi jawatan Naib Presiden.

Mengulas mengenai isu pengunduran menteri daripada PKR, Ahmad menjelaskan bahawa Perdana Menteri memiliki kuasa penuh untuk melantik sesiapa sahaja sebagai pengganti.

“Sama ada dari PKR atau siapa sahaja itu terpulang kepada Perdana Menteri.

“Namun, tentunya pimpinan PKR mendesak supaya kekosongan itu diganti individu daripada PKR. Itu daripada segi logik politiknya,” katanya.

Jelas beliau, Perdana Menteri dijangka menangguhkan pelantikan baharu sehingga selepas tempoh cuti menteri terlibat berakhir.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan, parti tersebut mengambil pendekatan memerhati dari jauh dan enggan mencampuri urusan dalaman parti lain.

“UMNO melihat dari jauh segala perkembangan yang ada. Bagaimanapun rakyat mungkin melihat dari dekat apa yang berlaku,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast