JOHOR BAHRU – Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan manusia di kawasan Industri Senai Airport City, Senai, Kulai, dekat sini tahun lalu.
Tertuduh, Haliza Palok, 55, yang merupakan seorang peniaga mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah memperdagangkan satu kanak-kanak lelaki berumur antara 10 hingga 12 tahun dan satu remaja perempuan berusia antara 13 hingga 15 tahun dengan mengeksploitasi mereka bagi aktiviti yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 5 (1)(c) Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 [Akta 350].
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Kargo 2, Senai Airport City, pada pukul 6.54 petang, pada 19 Disember 2024.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan Anti Penyeludupan Migran 2007 [Akta 670] dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Wanita itu boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat, jika disabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia, Tan Yen Thung manakala tertuduh diwakili peguam Amarpreet.
Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah supaya tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan perlu lapor diri ke Pejabat Imigresen Johor setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Amarpreet memohon jaminan yang minima buat anak guamnya kerana tidak tahu akan dituduh pada hari ini manakala wanita itu dan suaminya tidak berkerja.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM17,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua orang penjamin.
Mahkamah menetapkan 27 Ogos depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.- MalaysiaGazette
















