Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – AirAsia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama penerbangan bertaraf dunia apabila disenaraikan sebagai jenama penerbangan ke-24 paling bernilai di dunia dan yang ketujuh paling bernilai di Malaysia.

Menerusi laporan Brand Finance Malaysia 100 2025, nilai jenama AirAsia melonjak sebanyak 66 peratus kepada AS$1.93 bilion (RM8.2 bilion) didorong oleh permintaan penumpang yang kukuh, peluasan laluan strategik ke China dan Asia Tengah serta peningkatan kekerapan penerbangan bagi laluan yang berpermintaan tinggi.

Peningkatan luar biasa ini memperkukuh lagi status AirAsia sebagai jenama syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka di rantau ini, selain menjadi penyumbang utama kepada nilai jenama Malaysia di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pencapaian itu mencerminkan daya tahan jenama AirAsia dan komitmennya untuk terus relevan terutamanya dalam industri penerbangan.

“Pengiktirafan ini membuktikan kekuatan jenama AirAsia dan usaha berterusan kami dalam menjadikan perjalanan mudah diakses, mampu milik dan menyeronokkan untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan.

Laporan itu juga menunjukkan 100 jenama teratas Malaysia mencatatkan pertumbuhan kolektif sebanyak 16 peratus pada 2025, manakala sektor penerbangan pula mencatatkan peningkatan luar biasa sebanyak 85 peratus dari segi nilai jenama.

AirAsia dilihat lebih menonjol dalam laporan itu dengan keupayaannya menyesuaikan diri secara pantas terhadap trend perjalanan pasca-pandemik serta memanfaatkan semula momentum pasaran sektor penerbangan.

Jenama AirAsia juga terus mendapat kepercayaan tinggi daripada pelanggan dan kekal mempunyai pengaruh serantau yang kukuh, dengan kekuatan jenama AAA- serta tersenarai dalam 10 jenama terkukuh di Malaysia.

Menerusi pelbagai cabang perniagaan di bawah Capital A termasuk pelancongan, logistik, teknologi kewangan dan digital, AirAsia kekal komited untuk menawarkan nilai, inovasi dan keterhubungan merentasi ASEAN dan seterusnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast