Nie Ching (tiga kanan) menyampaikan sumbangan komputer riba kepada pelajar cemerlang SPM 2024 yang mendapat 11A pada Program Sumbangan Murid Cemerlang SPM 2024 Peringkat Parlimen Kulai di PPD Kulai, Kulai hari ini.

KULAI – Keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menjejaskan hubungan antara parti komponen dalam dalam kerajaan Perpaduan.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berpendapat, ini kerana parti-parti dalam kerajaan Perpaduan sudah matang selain mempunyai hubungan baik.

“Mereka boleh mengendalikan semua isu ini dengan baik,” ujarnya mengulas sama ada perletakan jawatan Tengku Zafrul itu memberi kesan dalam kerajaan Perpaduan.

Terdahulu Ahli Parlimen Kulai itu merasmikan Program Sumbangan Murid Cemerlang SPM 2024 Peringkat Parlimen Kulai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai, di sini, hari ini.

Menerusi kenyataan dikeluarkan malam tadi, Tengku Zafrul meletakkan jawatan sebagai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO, sekali gus menamatkan penyertaannya dalam parti itu sejak 1997.

Pada Disember tahun lalu, Tengku Zafrul mengakui bahawa terdapat perbincangan awal bersama-sama PKR, namun masih tiada sebarang keputusan yang dibuat berhubung penyertaannya ke parti tersebut.

Nie Ching yang juga Timbalan Pengerusi PH Johor berkata, perkara tersebut terpulang kepada PKR dan Tengku Zafrul sudah pun menyatakan minat secara terbuka untuk menyertai parti berkenaan.

Ditanya sama ada DAP ada melobi jawatan dua menteri yang dikosongkan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Ahmad minggu lalu, beliau berkata, pihaknya tidak berbuat demikian dan menyerahkan perkara tersebut kepada Perdana Menteri.

Jelasnya yang juga Pengerusi DAP Johor, perkara tersebut akan diputuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan selaku Perdana Menteri akan menguruskannya sebaik mungkin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast