KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ke-67, hari ini.
Baginda berdua turut menzahirkan rasa bangga serta penghargaan tidak terhingga kepada seluruh warga TUDM sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara di atas semangat juang, dedikasi dan keberanian dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara.
“Penghormatan yang setinggi-tingginya turut dizahirkan kepada para perwira TUDM yang telah gugur dalam menjalankan tugas.
“Jasa dan pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang, dan semoga roh mereka dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan para syuhada,” titah baginda berdua menerusi kenayataan di laman media sosial Kesultanan Pahang hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, sejak penubuhannya pada tahun 1958, TUDM telah melalui pelbagai fasa pembangunan dan transformasi strategik sehingga menjadi sebuah pasukan udara yang berkemampuan tinggi dan bersiap siaga dalam menghadapi cabaran semasa.
Sempena ulang tahun ke-67 ini, baginda berdua turut mendoakan agar TUDM terus melangkah maju dengan pemerkasaan teknologi dan kemahiran yang relevan demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
“TUDM diharap akan terus berada di barisan hadapan dalam mempertahankan tanah air demi keamanan dan kesejahteraan Malaysia yang kita cintai,”katanya. – MalaysiaGazette
















