KUALA LUMPUR – Kemasukan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat sebagai tindakan yang telah dirancang dengan teliti, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap keikhlasan serta semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata ia dikukuhkan lagi dengan kenyataan terbuka beberapa pemimpin PKR termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim yang dilihat terlalu meraikan penyertaan Tengku Zafrul.
Malah, Shaiful Hazizy berkata kenyataan -kenyataan itu jelas memberi kesan terhadap hubungan UMNO yang merupakan rakan kongsi utama dalam kerajaan.
“Siri kenyataan daripada tokoh-tokoh PKR seolah-olah memberi mesej terus ke muka Umno bahawa adab dalam bekerjasama itu tidak penting dan bahawa langkah-langkah politik boleh diatur tanpa mengambil kira sensitiviti rakan kongsi utama dalam kerajaan perpaduan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata desas-desus bahawa dirinya akan menyertai Kabinet Kerajaan Persekutuan bukan spekulasi baharu, bahkan ia sudah dimainkan banyak pihak sejak lima tahun lalu.
Amirudin berkata, setakat ini kedudukan beliau ketika masih kekal meskipun spekulasi itu terus berlegar dalam media sosial.
Malah Kamil turut berkata kemasukan Tengku Zafruk ke PKR mampu menarik sokongan pelbagai pihak untuk bersama parti itu membina sebuah negara yang lebih progresif, adil dan inklusif.
Shaiful Hazizy turut menegaskan bahawa UMNO tidak kecewa dengan pemergian Tengku Zafrul, sebaliknya melihatnya sebagai proses penyaringan semula barisan kepimpinan yang lebih jujur dan setia.
“Kita tidak kehilangan pahlawan, hanya melihat seorang pelancong politik kelas pertama menanggalkan topeng dan menuju ke destinasi baharu,” sinisnya.
Namun begitu, katanya, tindakan PKR yang kelihatan beria-ia menyambut Tengku Zafrul menimbulkan persoalan besar terhadap keutamaan dalam membina kerjasama yang ikhlas dan stabil.
“Adakah ini budaya sebenar dalam gabungan yang kita usahakan bersama?” soal beliau.
Beliau turut memberi amaran bahawa budaya politik seperti ini boleh mencemarkan keharmonian dalam kerajaan perpaduan dan menyukarkan usaha membina kepercayaan sesama parti komponen.
“UMNO bersedia bekerjasama, tetapi bukan untuk menjadi bahan mainan dalam skrip politik pihak lain. Kita tidak boleh terus mengorbankan prinsip semata-mata kerana mahu mengekalkan kuasa,” katanya.
Shaiful Hazizy menyeru agar kerjasama dalam kerajaan dibina atas asas saling menghormati dan bukan melalui agenda tersembunyi yang meretakkan kepercayaan.
“Kejanggalan drama ini wajar dihentikan demi kelangsungan sebuah kerjasama politik yang stabil, jujur dan ikhlas,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















