Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berhubung kekebalan terhadap tindakan saman, akan didengar oleh Mahkamah Tinggi, esok.

Hakim Roz Mawar Rozain yang akan bersidang pukul 2.30 petang, turut dijadual mendengar permohonan Perdana Menteri untuk menangguhkan perbicaraan saman bekas penyelidiknya, Muhammad Yusoff Rawther yang mendakwa beliau menyerangnya secara seksual.

Muhammad Yusoff Rawther.

Perdana Menteri memohon perbicaraan itu digantung sementara menunggu Mahkamah Persekutuan memutuskan lapan persoalan undang-undang berhubung isu kekebalan terhadap saman sivil yang difailkan ke atasnya.

Selain itu, hakim berkenaan juga dijadual mendengar permohonan tiga ahli Parlimen mendapatkan kebenaran untuk hadir sebagai peguam pemerhati dalam prosiding esok.

Ketiga-tiganya iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) dan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) memfailkan permohonan pada 1 Jun lalu agar dibenar terlibat sama dalam prosiding tersebut.

Mengikut notis yang difailkan firma guaman Tetuan Wan Jawahir & Takiyuddin, permohonan bersandarkan kepada alasan  selaku Ahli Legislatif (Dewan Rakyat), anak guam mereka adalah pihak yang berkepentingan.

Isu perundangan yang berbangkit dalam permohonan khususnya Perkara 39, 40, 43 dan 128(2) Perlembagaan Persekutuan, akan menjadi isu berkepentingan awam yang diperkatakan masyarakat selain turut dibangkitkan dalam persidangan Parlimen.

“Maka atas dasar kepentingan awam dan peranan ahli Parlimen yang perlu mendapat maklumat dan gambaran yang jelas tentang perkara ini, maka kami berpandangan mereka wajar dibenarkan mengikuti prosiding ini secara rasmi sebagai pemerhati,” ujar notis permohonan tersebut.

Sehubungan itu, mereka memohon peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Zulkifli Noordin dibenarkan hadir sepanjang prosiding sebagai peguam pemerhati yang mewakili kesemua Ahli Parlimen berkenaan.

Dua minggu lalu, Anwar memfailkan permohonan untuk merujuk lapan persoalan ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman sivil yang difailkan oleh Muhammad Yusoff.

Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad, Anwar memohon mahkamah tertinggi negara memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.

Sementara itu, memetik laporan Malaysiakini pada 28 Mei lalu, peguam Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie yang mewakili Anwar berkata, dalam afidavit sokongan, permohonan dibuat bukan untuk melengahkan perbicaraan, tetapi bagi memastikan proses kehakiman berjalan adil dan menurut lunas perlembagaan.

Perdana Menteri turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.

Dalam permohonan sama, Ahli Parlimen Tambun itu turut memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi perlu menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada saman itu merupakan penyalahgunaan proses atau suatu ancaman kepada kepentingan awam.

Sekiranya benar, mahkamah perlu memutuskan sama ada saman itu wajar digantung atau dibatalkan demi mengekalkan tadbir urus berperlembagaan.

Permohonan itu juga mahu Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada Anwar, sebagai Perdana Menteri semasa, berhak menurut Perkara 5(1) Perlembagaan untuk perlindungan daripada litigasi yang bersifat strategik atau dipolitikkan bagi menjejaskan keupayaannya mentadbir negara.

Muhammad Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 selepas mendakwa diserang secara seksual di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.

Dalam saman yang difailkannya, bekas penyelidik itu mendakwa, kejadian tersebut berlaku pada 2018, sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Plaintif mendakwa, Ahli Parlimen Tambun itu melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya walaupun dia menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.

Berikutan dakwaan itu, Muhammad Yusoff selalu plaintif dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan pelbagai pihak. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast