UPS meningkatkan perkhidmatan dengan menaik taraf perkhidmatan di LTAS dan pusat pembungkusan di Senai, Kulai bulan lalu

KULAI – UPS iaitu syarikat penghantaran bungkusan dan pengurusan rantaian bekalan terbesar di dunia menaik taraf perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dan pusat pembungkusan di Senai.

Operasi baharu di Johor itu mengukuhkan komitmen berterusan UPS untuk menyokong perniagaan di Malaysia dengan menyediakan akses lebih baik kepada rangkaian logistik global bersepadu bertaraf dunia UPS.

UPS dalam satu kenyataan memaklumkan, perkhidmatan tersebut akan mengurangkan tempoh penghantaran dan meningkatkan ketersambungan global bagi pelanggannya di seluruh negara.

“Perkhidmatan ini amat strategik kerana terletak di salah satu kluster pembuatan dan industri terkemuka di Johor yang berada di tengah-tengah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Ini bermakna barangan import dan eksport ke Johor dari negara-negara Asia Pasifik kini boleh menikmati penghantaran hari berikutnya, manakala barangan import dan eksport dari Eropah dan Amerika Syarikat akan tiba seawal dua hari bekerja.

“Ini memberikan penjimatan masa satu hari bekerja yang diperkasakan dengan penambahbaikan ketersambungan antara Johor dan Lapangan Terbang Changi Singapura,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kanan UPS Malaysia, Ingrid Sidiadinoto berkata, perkhidmatan baharu itu seiring dengan peluang pertumbuhan dan perniagaan yang terdapat serta berkembang di JS-SEZ.

“Johor merupakan sebuah pusat perindustrian penting di selatan Malaysia, terutamanya untuk syarikat pembuatan dan berteknologi tinggi.

“Kemampuan pengurusan pesanan yang pantas amat penting bagi sektor ini dan kini pelanggan UPS di Johor boleh menghantar dan menerima penghantaran ke dan dari mana-mana lokasi di dunia dalam tempoh dua hari bekerja atau kurang.

“Ini menawarkan akses pantas dan fleksibel yang diperlukan oleh perniagaan kepada rangkaian terkemuka industri kami untuk menjadikan mereka lebih responsif, berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Abdul Majid berkata, pembukaan operasi baharu UPS di Johor itu mencerminkan perkembangan kedudukan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan dan logistik rantau.

“Menerusi lokasi strategik di Senai, fasiliti ini mendapat manfaat daripada ketersambungan. Pelbagai mod yang teguh, termasuk lebuh raya yang membangun, rangkaian keretapi dan berdekatan  pelabuhan utama menjadikannya pintu masuk yang ideal untuk penyelesaian logistik bersepadu.

“Pencapaian ini melengkapkan wawasan Madani kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai ekonomi bernilai tinggi dan dipacu inovasi. MIDA akan terus menyokong syarikat seperti UPS, memupuk pertumbuhan mampan mereka dalam ekosistem logistik Malaysia yang kian membangun,” ujarnya.

Naik taraf tersebut adalah yang terbaharu dalam siri pelaburan terkini UPS bagi rangkaian Malaysia.

Pada 2024, UPS telah memperkenalkan peningkatan kepada perkhidmatan untuk membolehkan penghantaran dari Johor ke lebih 50 negara di seluruh benua Amerika selesai seawal dua hari bekerja.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast