Gambar Arkib MG

KUALA LUMPUR – Ada kacang yang melupakan kulit dan ada juga serigala menyamar sebagai domba. Begitulah pengalaman yang dilalui Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) semasa menyelamatkan mangsa pemerdagangan manusia dari negara-negara jiran.

Aktivis MHO, Andrew Foo memberitahu China Press, terdapat mangsa yang marah-marah selepas dibawa pulang kerana tidak berpuas hati dengan proses menyelamat yang lambat.

Katanya, walaupun kecewa dengan tingkah laku sesetengah orang yang tidak bersyukur, tetapi MHO masih komited kepada usaha membantu mangsa yang diperdagangkan.

Namun, dalam kalangan yang mendakwa diri sebagai mangsa, terdapat mereka yang bekerja secara sukarela dengan sindiket penipuan.

Beliau berkata, MHO antaranya pernah berurusan dengan seorang lelaki yang meminta bantuan tetapi selalu berlagak dan individu itu kemudian dibongkar sebagai seorang ‘pengurus’ yang berpura-pura selepas berhutang besar dengan sindiket jenayah dan pasportnya dirampas.

Katanya, MHO justeru perlu melakukan siasatan latar belakang secara teliti sebelum menggunakan pelbagai sumber yang ada untuk membantu mangsa.

Mengenai mangsa yang terkorban, Andrew berkata, dianggarkan lebih daripada 10 rakyat Malaysia telah dibunuh oleh sindiket penipuan dalam tempoh tiga tahun.

Menurutnya, kebanyakan yang dibunuh adalah mereka yang bersubahat dengan kumpulan jenayah sebelum ini tetapi kemudian mencuri wang daripada sindiket berkenaan.

“Dalam keadaan biasa, sindiket tidak akan membunuh mangsa pemerdagangan yang gagal mencapai sasaran penipuan. Mangsa lazimnya hanya akan dibelasah, didenda atau diperdagangkan kepada sindiket lain,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan kes pembunuhan yang berlaku adalah mengambil tempat di Kemboja.

Andrew berkata, sindiket jenayah yang beroperasi di negara-negara jiran adalah berskala besar dengan pelbagai kemudahan, termasuk pusat latihan, pusat tahanan dan pusat operasi, telah disediakan.

“Pelbagai sindiket dengan skala yang berbeza beroperasi dalam satu taman perindustrian yang besar. Dalam kawasan ini terdapat pusat hiburan, pusat rekreasi dan asrama,” katanya.

Menurutnya, banyak sindiket adalah beroperasi di kawasan sempadan Myanmar pada masa ini dan usaha menyelamatkan mangsa akan bertambah sukar jika mereka berpindah ke kawasan pedalaman.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast