Para prospek berjalan keluar untuk pulang ke kampung halaman pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Kompleks Penjara Kajang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 03 JUN 2025

KAJANG – Para banduan terpilih untuk mengikuti Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menzahirkan perasaan terharu kerana diberi peluang menjalani hukuman singkat oleh Penjara Kajang.

Malah mereka berasa insaf dan berazam untuk tidak mengulangi kesilapan lampau demi masa depan dan kebahagian keluarga masing-masing.

Mereka merupakan Orang Bebas Berlesen (OBB) yang telah diluluskan sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut umat Islam pada Sabtu ini.

Menurut seorang OBB,  Ani (bukan nama sebanar), 32, PBSL merupakan peluang terbaik untuk memperbaiki diri daripada kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

Katanya, dia memiliki perasaan sedih bercampur gembira selepas mendapat tahu dia layak untuk menyertai program itu.

Prospek yang ditemubual pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Kompleks Penjara Kajang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 03 JUN 2025.

“Saya sedih, dalam masa sama gembira. Saya berharap peluang ini dapat dimanfaat sepenuhnya dan sebaik mungkin,” katanya.

Rakannya, Mina (bukan nama sebenar) ,33, pula  tidak dapat dapat menggambarkan betapa lega hati setelah mendapat perkhabaran dia dapat mengikuti program tersebut.

“Saya tidak boleh gambarkan perasaan gembira itu memandangkan saya ibu tunggal dengan tiga orang anak.

“Saya sujud syukur sebab diberi peluang kedua bersama anak-anak sempena Raya Aidiladha, saya akan cuba jadi ibu yang terbaik buat mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Sakinah (bukan nama sebenarnya), 33, pula berharap agar suaminya dapat menjalani kehidupan lebih baik selepas keluar dari penjara.

“Saya amat bersyukur sebab kami sudah lama terpisah terutama dengan anak-anak. Saya berharap agar perkara ini (masuk ke penjara) tidak akan berulang dan kami boleh kembali bersama untuk membesarkan anak-anak,” katanya.

Prospek yang ditemubual pada Majlis Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Kompleks Penjara Kajang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 03 JUN 2025

Dalam pada itu, pengurus sebuah restoran, Tuan Swaifulddin Tuan Mustapa, 34, amat menggalakkan penglibatan OBB untuk bekerja di premisnya.

Katanya, lebih mudah mengambil OBB berbanding warga asing untuk bekerja dengannya kerana banyak perkara tidak perlu diuruskan seperti pas pekerja, visa dan sebagainya.

“Lebih 30 OBB pernah berkerja sejak tahun lepas dan sebagai majikan urusan pengambilan mereka amat mudah.

Tuan Swaifulddin Tuan Mustapa. Foto SADIQ SANI, 03 JUN 2025

“Kami berikan peluang kedua untuk mereka bekerja, mana yang berprestasi baik akan diserap manakala yang sebaliknya akan ditamatkan kontrak. Namun secara keseluruhannya setakat ini amat memuaskan” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast