Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM18.31 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (S1 2025), turun 13 peratus berbanding RM20.99 bilion yang dicatatkan untuk suku yang sama pada tahun 2024.

Jumlah pendapatan pelaburan ini termasuk keuntungan mark-to-market sekuriti sebanyak RM1.02 bilion yang belum direalisasikan, kebanyakannya disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran asing.

Selaras dengan polisi KWSP, keuntungan ini tidak akan diagihkan sebagai dividen.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pasaran global menjadi tidak menentu pada awal tahun ini berikutan ketegangan perdagangan yang kembali memuncak dan ketidaktentuan dasar.

“Walaupun pengumuman tarif dibuat oleh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) pada 2 April, ketidaktentuan mengenai dasar perdagangan AS telah mula memberi kesan kepada pasaran saham utama sepanjang suku.

“Walaupun tekanan inflasi semakin menurun di beberapa ekonomi, pelonggaran dasar monetari mengikut rantau adalah berbeza pada kadar dan masa, sekaligus menjejaskan tahap penerimaan risiko.

“Portfolio global KWSP yang pelbagai telah mengurangkan impak tersebut dan memastikan ia terus berada di landasan yang tepat untuk mencipta nilai jangka panjang.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sepanjang suku yang dikaji, Ekuiti menyumbang sebanyak RM10.81 bilion, susut 23 peratus daripada RM14.02 bilion yang dicatatkan pada S1 2024.

Penurunan ini, katanya, disebabkan oleh prestasi yang lebih lemah di pasaran ekuiti global dan persekitaran pelaburan yang mencabar. Kelas aset ini terus menjadi penyumbang terbesar, merangkumi 59 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Sementara itu, Instrumen Pendapatan Tetap terus menjadi tonggak pemeliharaan modal, menyumbang sebanyak RM5.99 bilion atau 33 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

“Instrumen Pendapatan Tetap, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, kekal memenuhi dua mandatnya iaitu memberikan pulangan yang stabil dan mengimbangkan turun naik pasaran ekuiti.

“Ini menunjukkan kepentingan strategiknya dalam melindungi simpanan ahli sepanjang kitaran pasaran,” katanya.

Ahmad Zulqarnain berkata, Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.08 bilion pada S1 2025, manakala Instrumen Pasaran Wang menjana sebanyak RM0.43 bilion, selaras dengan jangkaan pulangan untuk kelas aset ini.

Katanya, daripada jumlah pendapatan pelaburan, sebanyak RM15.87 bilion telah dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM2.44 bilion untuk Simpanan Shariah.

Sehingga Mac 2025, jumlah aset pelaburan KWSP telah mencecah RM1.26 trilion, dengan 38 peratus daripadanya dilaburkan di luar negara. Sepanjang tempoh tersebut, pelaburan luar negara telah menjana RM8 bilion atau 44 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Pelaburan domestik KWSP, yang merangkumi 62 peratus daripada jumlah aset, terus memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang melalui dividen, faedah dan keuntungan daripada sukuk.

“KWSP kekal komited untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan terus melabur lebih 70 peratus daripada peruntukan tahunannya dalam pasaran domestik.

“Ini mencerminkan peranannya sebagai pelabur jangka panjang dan sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI yang diperkenalkan oleh Kerajaan,” katanya.

Melalui inisiatif GEAR-uP, KWSP memberi tumpuan kepada pembangunan peluang pelaburan dalam sektor penjagaan kesihatan. Usaha ini bertujuan menjana pertumbuhan jangka panjang, menangani jurang kritikal dalam sistem dan menyokong persaraan yang lebih sihat untuk rakyat Malaysia.

Pendekatan berhati-hati KWSP

Keadaan ekonomi global dijangka kekal mencabar dalam situasi ketegangan geopolitik yang berterusan dan risiko halangan tarif dan bukan tarif yang tinggi antara ekonomi utama, khususnya Amerika Syarikat dan China.

“Walaupun beberapa bank pusat telah mula melonggarkan dasar monetari, kebimbangan terhadap ketidakstabilan politik global, ketidakseimbangan fiskal dan konflik serantau terus melemahkan sentimen pasaran dan menjejaskan keyakinan pelabur,” katanya.

Menurut Ahmad Zulqarnain, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menurunkan unjuran pertumbuhan global untuk 2025 kepada 2.8 peratus, turun 0.5 mata peratusan daripada unjuran pada Januari.

Sejajar dengan itu, katanya, unjuran pertumbuhan KDNK Sebenar Malaysia untuk 2025 dijangka sedikit lebih rendah daripada unjuran asal 4.5 peratus – 5.5 peratus, selari dengan semakan penurunan yang lebih meluas di seluruh rantau ini.

Ahmad Zulqarnain berkata semakan penurunan dalam unjuran pertumbuhan global dan serantau, termasuk Malaysia, mencerminkan risiko luaran yang semakin meningkat di samping dinamik perdagangan global yang berubah.

“Dalam persekitaran pasaran yang lebih mencabar dan tidak menentu, KWSP mengekalkan portfolio yang dinamik dan pelbagai bagi melindungi nilai dan mengurus risiko penurunan.

“Kami terus giat meneroka peluang pelaburan di pasaran serantau dan antarabangsa untuk mengukuhkan portfolio dan menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang untuk ahli,” tambah beliau.

Fokus kesejahteraan persaraan 

Menurut Ahmad Zulqarnain, ekonomi Malaysia yang berdaya tahan terus menyokong pasaran buruh, dengan kadar pengangguran menurun kepada 3.1 peratus pada S1 2025, daripada 3.3 peratus setahun sebelumnya.

Dalam tempoh yang dikaji, KWSP telah mendaftarkan 140,111 ahli baharu, menjadikan jumlah keseluruhan keahlian meningkat kepada 16.3 juta. Daripada jumlah ini, 8.88 juta adalah ahli aktif, mewakili 51.3 peratus daripada 17.31 juta tenaga buruh.

“Nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kekal stabil pada 54:46 pada S1 2025,” tambah beliau.

Mengenai pendaftaran majikan baharu mencecah, katanya, sebanyak  19,600 majikan baharu mendaftar pada S1 2025, menjadikan jumlah keseluruhan majikan aktif berdaftar dengan KWSP meningkat kepada 616,558.

Katanya, jumlah caruman meningkat sebanyak 15.1 peratus kepada RM33.54 bilion, berbanding RM29.13 bilion pada S1 2024.

Menurut Ahmad Zulqarnain, jumlah caruman sukarela meningkat sebanyak  62 peratus kepada RM7.02 bilion, berbanding RM4.33 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Katanya, bilangan ahli formal yang mencarum melebihi kadar berkanun adalah sebanyak 10,990 pada S1 2025, berbanding 6,771 dalam tempoh yang sama tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast