Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menyiasat kira-kira 1,200 kes disyaki melibatkan unsur penipuan faedah dalam tempoh lima tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, siasatan tersebut merangkumi pelbagai skim termasuk Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Skim Keilatan serta Program Saringan Kesihatan (HSP).

Jelasnya, hasil siasatan itu, sebanyak 500 kes telah digantung selepas didapati wujud penipuan dan kesalahan, sekali gus menjimatkan lebih RM61 juta dana keselamatan sosial PERKESO dalam jangka panjang.

“Saya perlu tegaskan kita mesti sentiasa berwaspada dan tidak berkompromi terhadap tindakan tuntutan palsu ini.

“Saya komited untuk membanteras sepenuhnya sindiket tuntutan palsu ini kerana menyalahgunakan sistem keselamatan sosial yang sepatutnya melindungi golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan program Seminar on Fraud, Evasion and Error in Social Security and Insurance Claims, anjuran PERKESO dengan kerjasama Pemeriksa Perubatan Bebas Lembaga Amerika (ABIME), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Presiden merangkap Pengasas ABIME, Prof Dr. Mohammed Ranavaya.

Sementara itu, Steven berkata, di sebalik komitmen Perkeso membanteras sindiket penipuan faedah, institusi tersebut juga tidak boleh memangsakan pencarum yang benar-benar layak dengan proses saringan yang rumit.

Jelas beliau, dalam era teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) hari ini, tiada alasan untuk mengorbankan kecekapan sistem semata-mata untuk mempertahankan integriti.

“Saya yakin kita boleh mencapai kedua-duanya iaitu kecekapan sistem dan integriti kita dalam memberikan perlindungan kepada pencarum.

“Kita boleh memastikan proses yang lebih cepat, mudah dan tahan daripada penipuan. Dan untuk itu, seminar hari ini seharusnya menjadi panduan kepada perbincangan kita ke arah matlamat tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast