SUNGAI BULOH – Keputusan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz meninggalkan UMNO disifatkan sebagai gambaran jelas terhadap karakter dan pendirian politik beliau.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ia merupakan keputusan Tengku zafrul dan parti itu tidak boleh menghalangnya.
“Tapi satu-satu tindakan sesiapa pun, itu menunjukkan karakternya dan sebagainya,” katanya selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia di Kem Sungai Buloh, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tengku Zafrul di Facebook minggu lalu yang memaklumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, serta keputusannya untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Keputusan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemimpinan dan akar umbi UMNO, meskipun Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan wujud sebarang ketegangan dalaman susulan tindakan tersebut.
Ahmad Zahid menyifatkan tindakan Tengku Zafrul sebagai sesuatu yang wajar menurut penilaian kebanyakan ahli parti di peringkat akar umbi.
Dalam perkembangan berkaitan, Khaled berkata, kerajaan hari ini terbentuk melalui gabungan pelbagai parti, dan oleh itu memerlukan sikap saling menghormati antara semua komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
“Apa pun, kerajaan yang ada hari ini adalah hasil gabungan parti-parti yang setuju untuk membentuk Kerajaan Perpaduan yang sewajarnya perlu ada hormat menghormati antara parti-parti yang ada,” tegas beliau.
Ketika ditanya sama ada terdapat perbincangan antara UMNO dan PKR mengenai kemasukan Tengku Zafrul dalam PKR, Khaled menjelaskan bahawa setakat ini tiada rundingan rasmi dijalankan antara kedua-dua pihak.
“Setakat saya tahu, tiada perbincangan dibuat antara parti mengenai kedudukan beliau,” katanya.
Mengulas mengenai tuntutan UMNO terhadap jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang dianggap kuota Barisan Nasional (BN), Khaled menegaskan, perkara itu akan diselesaikan secara dalaman tanpa perlu diperbesar melalui media.
“Itu kita runding di peringkat parti, kita tidak payah runding melalui media,” katanya lagi.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini menyuarakan bahawa UMNO mahu mengekalkan tujuh kuota menteri penuh dalam Kabinet, sekiranya berlaku rombakan susulan peletakan jawatan Tengku Zafrul.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun kesan terhadap parti tidak besar, namun kedudukan portfolio MITI wajar dinilai semula. – MalaysiaGazette
















