Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bercakap pada sidang media berkenaan Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 JUN 2025

PUTRAJAYA – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon imuniti di mahkamah dilihat secara tidak langsung membuktikan beliau bersalah terhadap tuduhan yang sedang dihadapinya.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, permintaan untuk kekebalan sedemikian juga disifatkan sebagai satu percubaan untuk lari daripada tanggungjawab dan mempertikaikan integriti sistem keadilan negara.

“Kalau betul tak salah, kenapa takut dibicarakan? Bila tak nak perbicaraan, bermakna sudah mengaku cakap bohong. Hanya mahu berselindung di bawah immuniti.

“Kalau minta imuniti, maknanya mengaku dah buat salah. Ini pengakuan bahawa dia (Anwar) sudah lakukan kesalahan terhadap Yusoff (Rawther), terhadap saya pun ada kes juga.

“Inilah keadilan ala Anwar, apabila menang boleh bercakap, bila kalah tak nak bicara, terus minta perlindungan,” katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bercakap pada sidang media berkenaan Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu diiringi Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 JUN 2025

Dr. Mahathir ditanya berkenaan permohonan Anwar di Mahkamah Tinggi memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman yang dikemukakan Yusoff.

Bagaimanapun, dalam prosiding hari ini, Mahkamah Tinggi tidak memberikan kebenaran kepada Anwar berhubung permohonan tersebut serta tujuh persoalan undang-undang lain ke Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Dr. Mahathir menegaskan, tiada sesiapa pun termasuk raja-raja yang mempunyai kekebalan mutlak atau imuniti dalam sistem perundangan negara.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan boleh dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira kedudukan atau pangkat, apatah lagi seorang ahli politik.

“Dalam negara kita, tak ada siapa pun dapat imuniti, termasuk raja-raja. Raja pun kalau buat salah boleh dihadap ke mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast