BUTTERWORTH – Dua cubaan menyeludup masuk bunga ganja bernilai RM1.8 juta ke negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Pusat Mel dan Kurier (PMK) Pos Malaysia Berhad berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang.
Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata, rampasan pertama membabitkan penemuan sebuah bagasi tanpa pengenalan di Karusel Bagasi A di LTAPP pukul 11.35 pagi pada 4 Mac lalu.
“Pemeriksaan oleh pegawai dari Pejabat Kastam Cawangan Pemeriksaan Penumpang (CPP) mendapati sebanyak 29 bungkusan lutsinar berisi tumbuhan kering disyaki bunga ganja seberat 16,210 gram bernilai RM1.58 juta.
“Semakan lanjut mendapati bagasi terbabit dipercayai berasal dari penerbangan negara China dan pihak berkuasa kini sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik bagasi tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Stor Penguatkuasaan JKDM Bagan Jermal di sini hari ini.

Tambah Rohaizad, bagi rampasan di PMK Pos Malaysu Berhad pula, ia terbongkar selepas sepasukan pegawai dari Unit Narkotik Kastam menjalankan pemeriksaan dengan bantuan Anjing Pengesan Dadah (APD) pada 16 April lalu.
“Pemeriksaan pukul 1 tengah hari itu berjaya menemui empat bungkusan mengandungi tumbuhan kering disyaki bunga ganja seberat 2,236 gram bernilai RM219,128.
“Parcel terbabit telah diikrar sebagai mengandungi sembilan unit buku komik dan difahamkan telah dieksport ke United Kingdom sebelum dipulangkan semula ke Malaysia dengan status sebagai Returned Parcel.
“Kedua-dua kes kini disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette
















