Dua beranak maut dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Johor Bahru-Seremban, Chaah, Segamat, hari ini.

SEGAMAT – Dua beranak maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 148 Jalan Johor Bahru-Seremban, Chaah, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kemalangan pada pukul 11.30 itu mengorbankan mangsa iaitu warga emas lelaki berusia 70-an dan anaknya berumur 30-an.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila kereta Perodua Viva dinaiki dua mangsa dari Labis ke Chaah, dirempuh pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 70–an dari arah belakang.

“Perlanggaran itu menyebabkan kereta itu terbabas ke laluan bertentangan dan dalam masa sama sebuah lori dipandu lelaki berusia 40-an dari arah bertentangan tidak sempat mengelak, lalu merempuh kereta mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pemandu dan penumpang Perodua Viva cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan, sementara pemandu pacuan empat roda dan lori tidak cedera.

Beliau memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kemalangan diminta menghubungi balai polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9325811.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast