KUALA LUMPUR – Seorang wanita berstatus janda ditahan kerana disyaki berkhalwat bersama seorang lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak kecil.
Penahanan dilakukan sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kira-kira jam 2 pagi tadi di sebuah rumah kuarters di Kempas Baru, selepas menerima maklumat daripada orang awam melalui talian aduan.
Ketika serbuan, pihak penguakuasa mendapati dua orang anak kecil kepada wanita berkenaan berada dalam rumah dan baru bangun tidur.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati salah seorang daripada anak perempuan wanita tersebut dipercayai anak luar nikah dan dilahirkan selepas tarikh rasmi penceraian.
Kedua-dua suspek masing-masing berumur 37 dan 28 tahun kini ditahan di lokap dan dijangka didakwa di Mahkamah Syariah dalam masa terdekat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 27 Enakmen Jenayah Syariah Johor 1997 kerana kesalahan berkhalwat, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 23 enakmen sama berhubung kesalahan zina, jika terbukti melalui kewujudan anak luar nikah.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000, penjara maksimum tiga tahun atau enam sebatan. – MalaysiaGazette.
















