KUALA LUMPUR – Tindakan merampas dan menyita semula Menara Ilham adalah satu tindakan tidak masuk akal yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal yang mewakili balu allahyarham Tun Daim Zainuddin.
Kedua-dua peguam itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai balas dendam dan menyalahi undang-undang selain mendakwa SPRM telah menyalahgunakan kuasa.
Perlu diulangi bahawa walaupun Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM telah berkali-kali membuat tuduhan dan sindiran terhadap Daim Zainuddin, tiada sebarang pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadap beliau.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/06/05/sprm-sita-menara-ilham-milik-daim/
https://malaysiagazette.com/2025/06/04/beku-aset-saya-tidak-tunduk-pada-pembuli-naimah/
“Setelah gagal membawa sebarang pertuduhan terhadap beliau, kini mereka mengganggu anak guam kami dengan satu lagi rampasan.
“Pendek kata, mereka mahu terus merampas harta anak guam kami walaupun tiada bukti rasuah,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Sehubungan itu, anak guam mereka Toh Puan Na’imah Khalid akan mencabar rampasan Menara Ilham di mahkamah dengan serta-merta.
Terdahulu, SPRM dalam kenyataannya memaklumkan, mereka sekali lagi menyita bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, Kuala Lumpur selepas menerima kebenaran pendakwa raya menerusi Notis Penyitaan Harta Tak Alih mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasul Daripada Aktiviti Harian 2001 (AMLATFPUAA 2001) bertarikh 4 Jun 2025. -MalaysiaGazette
















