Komuniti yang terkesan akibat bencana tanah runtuh.

KOTA KINABALU – Pusat Kajian Bencana (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh kerjasama strategik bersama Universiti Pokhara, Nepal dalam bidang
penyelidikan dan pengurusan bencana.

Menurut Pengarah NDRC UMS, Profesor Madya Dr. Carolyn Melissa Payus, kerjasama tersebut bukan hanya merangkumi pengurusan bencana alam, tetapi juga
perubahan iklim, sumber air dan alam sekitar.

Katanya, lawatan tersebut melibatkan sesi perbincangan dua hala dan mesyuarat kolaborasi yang memfokuskan kepada inisiatif penyelidikan bersama kedua-dua
institusi.

“Lawatan kerja rasmi ini menjadi platform penting untuk berkongsi perkembangan penyelidikan semasa, meneroka peluang kerjasama baharu dan memperkukuh
rangkaian akademik dalam menangani cabaran global terutamanya akibat daripada perubahan iklim, terhadap pengurusan sumber air, kelestarian alam sekitar dan daya tahan terhadap bencana alam.

“Antara kerjasama yang telah dibincangkan adalah dalam pelaksanaan Seminar Bersama yang akan melibatkan pakar-pakar dari kedua-dua institusi tersebut, di samping penyelidikan yang berkaitan pemetaan risiko bencana dan penilaian berterusan untuk tanah runtuh terutamanya melibatkan projek pembinaan jalan
raya.

“Ini termasuklah potensi tinggi kerjasama dalam bidang kajian kebakaran hutan bagi menangani bencana pencemaran udara merentas sempada seperti jerebu,
pembangunan sistem amaran awal bencana seperti banjir serta pertukaran kepakaran dan felo penyelidik dalam bidang yang diperlukan oleh kedua-dua institusi
antaranya dalam permohonan geran antarabangsa,” katanya.

Pada lawatan tersebut, NDRC UMS turut terlibat dalam kerja lapangan di kawasan Machhapuchchhre, Daerah Kaski, Wilayah Gandaki, kawasan
penempatan komuniti yang terdedah kepada risiko bencana tanah runtuh.

“Lawatan diketuai oleh Profesor Dr. Binaya Kumar Mishra dan dibantu oleh Profesor Madya Dr. Rajib Pokhrel, dari Sekolah Kejuruteraan Universiti Pokhara Nepal.

“Dalam kerja lapangan yang sama, kami turut berpeluang melihat sendiri operasi Seti Nadi Hydroelektrik yang dimajukan oleh Vision Lumbini Urja Company Ltd. yang pada awalnya tertangguh akibat daripada bencana banjir yang melanda kawasan hidroelektrik tersebut.

Tambah Carolyn, kerja lapangan juga dijalankan di kawasan sekitar Kathmandu yang terkesan akibat gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 pada April 2015, antaranya
Dharahara, Durbar Square serta Durbar Marg.

“Lawatan rasmi ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara UMS dan Universiti Pokhara, malah membuka ruang penyelidikan kolaboratif yang meluas
dalam menangani isu-isu kemanusiaan dan pembangunan mampan.

“Kerjasama ini dijangka akan membawa kepada pelaksanaan projek penyelidikan bersama, pertukaran pelajar dan pakar penyelidik, di samping penganjuran bengkel
rentas negara terutamanya dalam pengurusan pengurangan risiko bencana.

“Langkah ini sejajar dengan komitmen UMS dalam mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya inisiatif yang berkaitan dalam adaptasi
perubahan iklim terhadap pembangunan komuniti yang lebih berdaya tahan bencana,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast