KUALA LUMPUR – Sekumpulan penyelidik dari Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Universiti Kebangsaan Malasyia (UKM) menjalankan penyelidikan Dielektroforesis (DEP), satu inovasi baharu dalam proses pemantauan kualiti air dari sudut pengesanan dan penprofilan bakteria berbahaya dalam air.
Penyelidikan yang diketuai Prof. Madya Dr. Muhamad Ramdzan Buyong bertujuan mengesan zarah biologi seperti bakteria yang terdapat dalam air dan bahan pencemar lain.
“Teknik yang dibangunkan oleh pasukan penyelidik kami bukan sahaja boleh mengesan zarah biologi iaitu spesies bakteria yang terdapat dalam air, tetapi juga proses mengenalpasti zarah biologi dalam masa yang singkat iaitu lebih kurang lima minit sahaja dengan harga yang murah,” katanya.
Beliau berkata, penentuan kualiti air yang bebas bakteria berbahaya dilakukan secara in-situ.
Berbanding dengan kaedah penentuan zarah biologi sekarang, sampel air dibawa ke makmal untuk ujian melalui teknik pengkulturan yang mengambil masa yang lama, iaitu melebihi 24 jam walaupun menggunakan peralatan yang mahal.
Bagi melancarkan proses penyelidikan DEP ini, pasukan penyelidik itu telah menerima dana dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MO)STI) sebanyak RM668,300.
“Dana ini akan digunakan untuk membangunkan sistem pengesanan dan penprofilan bakteria di dalam air dengan beberapa piawai penentuan kandungan air yang kemudiannya boleh dikomersialkan,” ujarnya.
Menurutnya, IMEN menandantangani memorandum kerjasama dengan Silterra Malaysia iaitu pusat megafabrikasi teknologi mikro dan nano bagi menjalankan penyelidikan bersama.
Silterra mempunyai teknologi proses fabrikasi bertaraf antarabangsa dan mempunyai kapasiti untuk menghasilkan peranti DEP dengan kuantiti yang banyak.
Melalui kerjasama ini, IMEN berharap peranti DEP nanti akan di upscale supaya berdaya saing tinggi dan produk sesuai dikomersialkan dengan harga yang lebih kompetitif.
Beliau berkata, peranti sensor dielektroforesis mengesan bakteria dengan memanipulasi pergerakan bakteria dalam medan elektrik tidak seragam dengan mengukur perubahan yang terhasil daripada pergerakan atau pengumpulan bakteria tersebut diatas platform mikroelektrod DEP.
“Kaedah pantas dan sensitif ini untuk mengesan spesies bakteria, dan kaedah ini sangat berkesan kerana ia tidak memerlukan pelabelan kimia dan tambahan bahan yang lain jika dibandingkan dengan teknik pengesanan bakteria yang dilaksanakan pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata, sebelum inovasi itu boleh digunakan secara meluas dan memenuhi piawaian pengukuran kualiti air dari sudut pengesanan dan penprofilan bakteria berbahaya dalam air, pengujian secara komprehensif akan dilakukan.
“Beberapa tapak penyelidikan, penggunaan teknik DEP dalam memantau pencemaran dalam air telah dikenalpasti. Disamping dua batang sungai iaitu Sungai Langat dan Sungai Semenyih yang semakin kerap mengalami pencemaran, ujian juga akan dilakukan di tapak pelupusan sisa pepejal di Teluk Mengkudu yang berhampiran dengan kawasan pelupusan sampah di Manjung Perak.
“Sebahagian dari dana MOSTI akan digunakan untuk membangunkan peralatan DEP yang akan digunakan dalam ujikaji yang akan dijalankan di lokasi yang telah dikenalpasti diatas,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















