ISKANDAR PUTERI – Urusan permohonan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) tidak melibatkan pelantikan ejen atau orang tengah bagi menghapuskan penipuan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menjelaskan, mekanisme ini juga bagi mengelakkan campur tangan orang tengah yang mengambil kesempatan dalam proses permohonan.
Jelasnya, langkah itu adalah sebahagian daripada undang-undang dan pembeli perlu berurusan sendiri dengan pemaju.
“Sebelum tahun 2022, permohonan rumah di negeri ini masih menggunakan kaedah manual dan bergantung kepada pemaju.
“Namun sejak pelaksanaan sistem e-rumah Johor pada akhir tahun 2022, semua pemaju perumahan diwajibkan untuk mendaftar dan menjual unit rumah mereka secara telus melalui portal dalam talian tersebut.
“Kerajaan Johor tidak melantik mana-mana ejen atau orang tengah dalam pengurusan permohonan rumah mampu milik. Sebarang permohonan mesti dibuat sendiri oleh pemohon melalui sistem e-rumah secara online,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Pembangunan Perumahan Negeri Johor di Ramada Meridin Hotel di sini hari ini.
Mohd Jafni berkata, meskipun sistem telah diperkenalkan, masih terdapat kes-kes penipuan dengan melantik orang tengah mengenakan bayaran tinggi sehingga RM10,000 ke RM15,000 kepada pemohon.
Kes itu ujarnya, pernah dilaporkan kepada pihak polis dan berjaya dibongkar dengan 18 kes penipuan melibatkan jumlah kerugian RM155,000 pada 2023.
“Mangsa kebanyakanya ditipu ejen yang mengambil kesempatan disebabkan permohonan mereka tidak cukup syarat,” katanya.
Mohd Jafni berkata, subsidi kerajaan Johor terhadap rumah mampu milik adalah signifikan dengan purata subsidi sebanyak RM100,000 setiap unit menyebabkan harganya lebih rendah berbanding harga rumah di pasaran.
“Sebagai contoh di Iskandar Puteri rumah mampu milik masih dijual pada harga RM150,000 walaupun bernilai RM300,000. Pembeli yang layak masih boleh menikmati harga subsidi yang jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.
“Ini kerana rumah tersebut dibina di atas tanah milik kerajaan yang asalnya diserahkan oleh pemaju kepada pihak kerajaan. Kerajaan kemudian memilih kontraktor atau agensi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengendalikan pembinaan rumah tersebut.
“Dengan penggunaan tanah kerajaan dan pemilihan kontraktor yang dipantau oleh agensi kerajaan, kos pembangunan dapat dikurangkan. Justeru, harga jualan rumah dapat ditawarkan pada harga subsidi yang lebih rendah bagi membantu golongan yang memerlukan,” tambahnya.
Justeru, Mohd Jafni mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya kepada mana-mana ejen atau orang tengah yang mendakwa kononnya boleh membantu dalam permohonan rumah mampu milik.
“Segala urusan kini dilakukan secara dalam talian dan pemohon digalakkan datang sendiri ke pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) jika memerlukan bantuan,” katanya.- MalaysiaGazette
















