KUALA LUMPUR – Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dilihat semakin meningkat susulan peningkatan jumlah kenderaan apabila orang ramai mula pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidiladha.
Tinjauan MalaysiaGazette menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati berlaku kesesakan dari arah Gombak (KM19.8) menghala ke Genting Sempah (KM38.5) dengan kenderaan dilihat bergerak perlahan.
Meskipun aliran trafik keluar dari Lembah Klang menerusi beberapa lebuh raya utama semakin meningkat namun trafik di kebanyakan lebuh raya utama masih bergerak lancar.
Sementara itu, di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), tiada kesesakan teruk dilaporkan walaupun trafik dilihat perlahan membabitkan laluan di Plaza Tol Sungai Besi, Nilai dan Seremban setakat ini.
Keadaan yang sama juga dilihat pada aliran trafik yang menghala ke arah utara. – MalaysiaGazette
















