Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap kepada wartawan ketika hadir pada majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Perdana bagi projek menangani isu sekolah berkepadatan tinggi di Kompleks Ibu Pejabat JKR Selangor, Shah Alam. Foto HARI ANGGARA, 5 JUN 2025.

SHAH ALAM –  Sekretariat Orang Melayu yang diumumkan Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam tidak perlu disokong kerana ia jelas ditubuhkan hanya bermotifkan politik.

Sebaliknya Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) lebih baik daripada sekretariat tersebut.

Katanya, KEB yang digerakkan oleh Kerajaan Madani mempunyai perancangan secara konsisten untuk memperjuangkan nasib Bumiputera.

“Usaha kita untuk membangunkan bumiputera ini terbukti dalam kerajaan ini ada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB). KEB (yang) saya terlibat daripada awal dan saya tahu begitu banyak sekali perancangan yang kerajaan lakukan dan akan lakukan juga sudah lakukan yang itu jauh lebih berkesan daripada sekretariat politik yang baru difikir ini.

“Orang sudah fikir lama dia baru fikir semalam untuk buat,” katanya yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Ahmad hadir Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Projek Menangani Isu Sekolah Berkepadatan Tinggi di Pelbagai Negeri di Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor.

Menurut beliau, Sekretariat Orang Melayu itu tidak perlu disokong memandangkan ia khusus untuk Melayu sedangkan KEB untuk golongan bumiputera.

KEB mempunyai peranan yang lebih efektif dan memberi impak bukan hanya untuk memajukan kaum Melayu malah Bumiputera dalam negara ini.

“Jadi KEB dan segala agensi yang terlibat di dalamnya jauh lebih besar peranannya untuk membantu bumiputera dan itu komitmen kerajaan Madani,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Ahmad menegaskan partinya, UMNO sudah lama memperjuangkan nasib Melayu.

“Perjuangan Melayu sudah diperjuangkan oleh UMNO sejak zaman berzaman dan ia dipersetujui Barisan Nasional (BN),” katanya lagi.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan inisiatif baharu untuk menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung besar yang dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu.

Menurutnya, gerakan berkenaan tidak bermotifkan politik sebaliknya  wadah bagi menyelesaikan masalah dan isu dihadapi orang Melayu yang disifatkan gagal ditangani kerajaan hari ini.

Jelas beliau, gerakan atau sekretariat itu juga bertujuan untuk mencari jalan supaya orang Melayu dapat menguasai semula kerajaan.

Penubuhan sekretariat itu adalah hasil perbincangan bersama-sama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tun M gerak inisiatif terbaharu satukan orang Melayu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast