KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkongsi pertemuannya dengan seorang graduan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bawah agensi itu yang kini berjaya meraih pendapatan antara RM17,000 hingga RM20,000 sebulan.
Kata beliau, graduan Institut Kemahiran Mara (IKM) Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Ibrahim itu sedang bekerja sebagai mekanik kapal terbang di sebuah syarikat penerbangan antarabangsa.
Ujar Asyraf, pemuda berkenaan telah menyapanya ketika dalam penerbangan pulang dari Doha ke Kuala Lumpur.
“Dr, saya anak MARA! Graduan IKM Kampung Pandan. Saya disapa seorang anak muda ketika dalam penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dari Doha.
“Bidang apa? Sijil Teknologi Fabrikasi. Saya bekerja dengan Qatar Airways di Doha sebagai mekanik baiki badan kapal terbang,” jawab Ibrahim.
“Boleh saya tahu berapa gaji yang dibayar? “Dalam RM17 ribu ke RM20 ribu,” tulisnya di Facebook miliknya di sini hari ini.
Asyraf berkata, kisah Ibrahim telah membuktikan graduan TVET boleh berjaya dan menjadi tenaga kerja mahir hingga ke peringkat antarabangsa.
“Hebat anak muda berasal dari Merlimau, Melaka, yang bernama Ibrahim ini. Menurut Ibrahim, semua ‘batch’ beliau lepasan IKM Kuala Lumpur mendapat pekerjaan bergaji serupa dalam bidang sama dengannya. Beliau amat berbangga menjadi ‘anak Mara’.
“Ibrahim adalah satu contoh bagaimana hanya dengan sijil kompetensi dan profesional bidang TVET, boleh mendapat kerja bergaji besar sehingga diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
“Hanya dengan ilmu boleh merubah kehidupan! Mara terus mendunia,” katanya di media sosial miliknya itu. – MalaysiaGazette
















