Ahmad Nawfal Mahfuz

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajib bercuti untuk memberi laluan proses mahkamah yang adil dan telus berkenaan kes saman sivil difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.

Ketua Pemuda Pas Negeri Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, Anwar perlu bercuti serta merta dan institusi kehakiman mesti dihormati tanpa sebarang campur tangan politik.

“Rakyat mahukan pemimpin yang berjiwa besar, berintegriti dan bertanggungjawab. Jangan gadaikan keyakinan rakyat demi kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jawatan Anwar itu perlu dipangku Timbalan Perdana Menteri bagi menjamin kelangsungan pentadbiran.

Katanya, Dewan Pemuda Pas Johor memandang serius keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan imuniti oleh Perdana Menteri dalam kes saman sivil Yusof Rawther.

Keputusan itu ujarnya, membuktikan bahawa tiada sesiapa pun mengatasi undang-undang, termasuk Perdana Menteri.

“Terkini, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta, menegur kerajaan secara terbuka agar menghormati kebebasan kehakiman dan tidak mencampuri urusan pelantikan hakim,” ujarnya.

Teguran itu katanya, menunjukkan kegusaran institusi kehakiman terhadap gangguan eksekutif terhadap sistem pengadilan.

“Namun, lebih mendesak, isu ini berlaku di tengah-tengah kesempitan hidup rakyat akibat penarikan subsidi dan peningkatan kos sara hidup yang mendadak.

“Dasar penarikan subsidi mesti dihentikan segera sebelum rakyat terus dihimpit tekanan ekonomi. Kerajaan juga perlu bertindak tegas mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

“Kedaulatan negara terus diganggu dan perairan diceroboh, tekanan kuasa asing makin ketara, tetapi kerajaan masih berlembut dan gagal menunjukkan ketegasan,” katanya.

Terdahulu, Hakim Roz Mawar Rozain menetapkan perbicaraan yang dijadualkan bulan ini selama tujuh hari iaitu pada 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun, dimulakan pendengarannya.

Mahkamah menolak permohonan lisan Perdana Menteri untuk penangguhan perbicaraan kerana tiada keadaan istimewa yang mewajarkan ia dibenarkan.

Hakim Roz Mawar menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan isu kekebalan daripada tindakan saman yang difailkan bekas pembantu penyelidiknya.

Dua minggu lalu, Anwar memfailkan agar mahkamah tertinggi negara memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.

Muhammed Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 selepas mendakwa diserang secara seksual di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.

Dalam saman yang difailkannya, bekas penyelidik itu mendakwa, kejadian tersebut berlaku pada 2018, sebelum Anwar dilantik Perdana Menteri pada 24 November 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast