JOHOR BAHRU – Setiap kali Hari Raya Aidiladha, Osman Goat Farm di Kampung Kangkar Tebrau, di sini, tidak menang tangan dengan tempahan korban yang diterima.
Bukan sahaja umat Islam Johor yang melaksana ibadah itu, sebaliknya turut disertai suadara seagama dari Singapura.
Pengarah Osman Goat Farm, Osman Cheya Kutty berkata, lebih 900 ekor kambing ditempah umat Islam di negeri ini dan republik itu bagi ibadah korban pada tahun ini.
“Menariknya lebih 60 peratus daripada jumlah tempahan diterima adalah daripada umat Singapura yang memilih untuk melaksanakan ibadah korban mereka di Johor.
“Agihan daging korban bagi warga Singapura dilakukan terus di ladang tersebut, bermula hari pertama sehingga hari keempat sebelum waktu Asar,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, pihaknya menerima tempahan sehingga 6 Jun ini dan orang ramai yang berminat untuk menempah kambing boleh hadir terus ke ladang atau hubungi pejabat menerusi talian 07-3542828.
Katanya, walaupun tempahan secara datang terus (walk-in) dibenarkan, itu boleh dilakukan sehingga Asar hari keempat Aidiladha sahaja.
Menurutnya, terdapat peningkatan ketara dalam jumlah tempahan korban tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya
Perkembangan itu jelasnya, sekali gus mencerminkan kesedaran masyarakat untuk melaksanakan ibadah tersebut.
“Seramai 25 petugas telah disediakan termasuk tukang sembelih dan mereka yang bertanggungjawab melapah daging sehinggalah kepada proses pengagihan kepada orang ramai.
“Antara jenis kambing yang ditawarkan ialah boer, ferral, Burma dan biri-biri Thai,” katanya. – MalaysiaGazette
















