KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sabah menggesa Jawatankuasa Bersama Khas (JBK) memberi keutamaan kepada pelaksanaan pemilihan semula pegawai-pegawai baharu bagi menerajui kepimpinannya.
Pengerusi MTUC Sabah, Mohd Airy Arin berkata, jawatankuasa tersebut perlu segera mengadakan mesyuarat untuk mengesahkan proses pemilihan agar kongres tersebut dapat kembali menjalankan peranan yang sewajarnya mewakili kepentingan pekerja.
“Pada 21 Februari 2025, Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah dengan persetujuan pihak yang bertikai menubuhkan JBK berperanan menjalankan Persidangan Perwakilan (SDC) khas untuk memilih pimpinan baharu yang mana hendaklah dijalankan dalam tempoh 90 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
“Malangnya JBK tidak dapat memenuhi tempoh yang ditetapkan dan sehingga hari ini masih belum ada pegawai yang dapat menjalankan tugas MTUC,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut beliau, MTUC kini ditadbir KBK yang dilantik oleh mahkamah dengan mandat khusus mengadakan pemilihan semula kepimpinan dalam tempoh yang ditetapkan daripada tarikh perintah pada 21 Februari sehingga 22 Mei 2025.
KBK kemudiannya mendapat perintah dilanjutkan kepada Ogos 2025.
Bagaimanapun Mohd Airy mendakwa, jawatankuasa itu mengeluarkan kenyataan bantahan susulan kerajaan enggan memberikan kelayakan kepada perwakilan MTUC untuk menyertai Persidangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILC) yang berlangsung di Geneva, Switzerland.
Jelasnya, persidangan berkenaan merupakan platform tripartite yang menghimpunkan tiga pihak utama, iaitu kerajaan, majikan dan pekerja demi membincangkan sistem buruh antarabangsa.
“Dalam hal ini JBK tidak mempunyai mandat untuk menamakan atau mencalonkan mana-mana pegawai menjadi perwakilan MTUC,” ujarnya.-MalaysiaGazeztte
















