GEORGE TOWN – Kampung Melayu di Air Itam di sini, menjadi tumpuan ramai hari ini apabila menjadi satu-satunya lokasi di seluruh Pulau Pinang yang menjalankan ibadah korban melibatkan lima ekor unta sempena Aidiladha tahun ini.
Rata-rata pengunjung tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan penyembelihan unik haiwan padang pasir itu, termasuk penduduk dari kawasan luar dan pelancong asing yang tertarik dengan keistimewaan korban unta.
Bagi Mohd Hafiz Roslan, 39, dari Sungai Ara, peluang itu tidak dilepaskan kerana teringatkan rasa daging unta yang pernah dinikmatinya semasa menunaikan umrah dua tahun lalu.
“Waktu buat umrah dulu, saya berpeluang rasa nasi mandy unta dan memang sedap rasa daging unta sebenarnya.

“Jadi bila tau Kampung Melayu buat korban unta, saya terus ajak isteri dan anak datang.
“Kalau rezeki dapat daging sikit pun tak apa, janji boleh masak sendiri dan bagi satu keluarga rasa. Anak saya baru tujuh tahun, ni lah peluang nak bagi dia rasa daging unta pula,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Bagi Nor Fasihah Zaaba, 38, dari Nibong Tebal, ini kali kedua dia hadir ke Kampung Melayu untuk Aidiladha, namun kali ini lebih teruja kerana bersedia untuk memasak rendang unta.
“Tahun lepas mak mentua saya dapat sikit sebab dia memang penduduk Kampung Melayu, jadi kali ni harap dapat lebih sebab saya cadang nak buat rendang resepi orang Manjung, Perak kerana itu kampung halaman saya.

“Selain itu, suami datang untuk kerja-kerja melapah lembu manakala anak pula seronok tengok suasana kat sini tak ubah seperti mini zoo,” katanya.
Turut mencuri tumpuan ialah pengunjung dari Indonesia, Asti Aries, 29, dari Surabaya yang pertama kali menyambut Aidiladha di Malaysia bersama suaminya.

“Saya datang ke Kampung Melayu ini selepas lihat video tular di TikTok mengatakan ada penyembelihan unta, lembu serta kerbau sado.
“Di tempat (Surabaya) saya tak pernah tengok penyembelihan unta dilakukan pada Aidiladha jadi saya ambil peluang untuk menyaksikan bersama suami.
“Meriah sangat suasana di sini, orang ramai dan jika penduduk masak ini akan menjadi kali pertama saya rasa daging unta,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Yayasan Global Mesra, Datuk Seri Salim Abdul Rahman berkata, sambutan luar biasa terhadap korban unta tahun lalu mendorong pihaknya menambah bilangan haiwan padang pasir itu kepada lima ekor tahun ini.

Jelasnya, selain lima ekor unta, sebanyak 31 ekor lembu, seekor kerbau dan 30 ekor kambing turut dikorbankan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 67 ekor ternakan.
“Tahun lepas kami sembelih tiga ekor unta sahaja, tapi sambutan sangat luar biasa. Ramai yang nak rasa daging unta, jadi tahun ni kita tambah lima ekor supaya lebih ramai boleh merasa.
“Kesemua ternakan ini kita beli dari penternak tempatan di Kulim, Kedah termasuk seekor lembu sado seberat 1.5 tan berharga RM15,000 dan seekor kerbau sado seberat satu tan bernilai RM12,000.
“Kita harap semua dapat merasa, terutama daging unta yang jarang sekali dibuat di tempat lain. Ini juga cara untuk eratkan silaturahim dan hidupkan semangat korban dalam komuniti,” katanya. – MalaysiaGazette
















