ALOR GAJAH – Seekor lembu yang sepatutnya menjadi korban pada sambutan Aidiladha hari ini dipercayai hanyut di perairan Pantai Tanjung Bidara, di sini selepas terlepas di sini malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.40 malam tadi turut tular di media sosial menerusi dua klip video
Laporan kes turut diterima Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka untuk menangkap haiwan ternakan itu.
Jurucakap APM bagaimanapun berkata, usaha mencari lembu berkenaan tidak berjaya selepas ia gagal dikesan apabila kali terakhir dilihat berenang di perairan itu.

“APM menerima panggilan kecemasan ada pukul 9.42 malam tadi sebelum seorang pegawai dan tiga anggota bergegas ke lokasi.
“Bagaimanapun lembu korban berkenaan yang terlepas gagal dikesan selepas dipercayai hanyut dan hilang dari penglihatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menerusi dua klip video tular berdurasi 41 saat dan 13 saat menunjukkan pasukan APM dibantu orang ramai berusaha mencari haiwan berkenaan yang pada mulanya berada di tepi pantai peranginan itu dalam keadaan tali masih di leher.
Bagaimanapun, ia dipercayai lemas kerana tidak kelihatan selepas itu menyebabkan pemiliknya terpaksa berputih mata. – MalaysiaGazette
















