JOHOR BAHRU – Penentangan orang Melayu dan parti politik terhadap gagasan ‘Payung Besar Melayu’ yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai cubaan menghalang orang Malayu bersatu.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ihsan, Zamrin Hamzah mendakwa, banyak pihak mahu melihat Melayu tidak bersatu malah lebih menyedihkan tentangan datang daripada orang Melayu sendiri dan pihak yang berkepentingan dalam politik.
“Payung Besar Melayu ditentang tali barut Melayu atau pengkhianat Melayu. Melayu tikam Melayu supaya Melayu tidak bersatu.
“Melayu dilemahkan untuk muslihat tembolok. Perlu buang kepartian, tujuan menyatukan hanya mahu Melayu mengurus menjaga negara ini. Payung Besar Melayu wajar mengorak langkah laju ke hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zamrin berkata, sepatutnya gagasan perjuangan itu disokong oleh orang Melayu yang bertujuan agar Melayu bersatu.
“Melayu patut duduk dalam satu Sepatutnya di sokong oleh orang Melayu. Melayu patut duduk dalam satu Payung Besar Melayu iaitu bersatu untuk perpaduan Melayu.
“Untuk bersatu, untuk menyatukan Melayu ditentang dikutuk dengan pelbagai kata kesat kata nista. Melayu jangan besar tembolok,” ujarnya.
Rabu lalu, Dr Mahathir mengumumkan satu gerakan yang dinamakan Sekretariat Orang Melayu dibentuk bagi menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib orang Melayu di bawah satu payung besar.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, inisiatif tersebut merupakan satu langkah untuk mengembalikan kuasa politik dan cabaran yang dihadapi orang Melayu.
“Kita bersetuju untuk adakan satu gerakan yang dipanggil sebagai payung besar atau Sekretariat Orang Melayu.
“Ia bukan parti politik, tapi satu usaha untuk satukan semua gerakan yang memperjuangkan orang Melayu dalam satu kumpulan sahaja,” kata Dr Mahathir.- MalaysiaGazette
















