Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan Lebuhraya Utara-Selatan, Tangkak semalam.

TANGKAK – Dua wanita maut manakala empat lagi cedera terlibat kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan sebuah treler di Kilometer 168.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 6.15 petang melibatkan kereta Toyota Vios dinaiki enam orang dan treler berkenaan dipandu seorang lelaki.

“Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku semasa kereta dinaiki empat lelaki dan dua wanita itu datang dari arah Johor Bahru menghala ke Merlimau, Melaka.

“Apabila sampai di lokasi kejadian kereta berkenaan hilang kawalan lalu terlanggar bahagian belakang treler yang berhenti di laluan kecemasan akibat mengalami kerosakan tayar,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, akibat pelanggaran itu dua wanita yang berada di tempat duduk belakang B Karpagan, 28, dan V Durga Darsny, 24, cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, empat lagi mangsa yang berada dalam kereta berkenaan cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Susulan itu ujarnya, satu kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan berbahaya.

Tambah Roslan, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai informasi berkaitan kemalangan itu supaya menyalurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak melalui Pegawai Penyiasat Inspektor Faszrulhaq Zulkapli 012-2306943.

Sementara itu, Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan I, Johar Tumim berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada pukul 6.41 petang.

Jelas beliau, tujuh anggota bersama-sama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi.

“Terdapat seorang mangsa tersepit dalam kereta dan anggota bertindak menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkannya,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Johar, dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala selebihnya mengalami kecederaan termasuk seorang yang tersepit.

“Semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans, sementara mayat diserahkan kepada pihak polis. Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 8.20 malam tadi,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast