Fadhlina Sidek.

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Daerah memastikan kebajikan pasangan guru dan keluarga yang terlibat dalam nahas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak semalam terus dijaga dan diberi perhatian sepenuhnya.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pasangan suami isteri yang masing-masing merupakan guru dan anak-anaknya sedang menjalani rawatan di Hospital Baling serta dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“KPM melalui JPN dan PPD memberi perhatian penuh terhadap kebajikan guru ini serta keluarganya.

“Bantuan segera akan dihulurkan dan kebajikan mereka dalam pemerhatian KPM,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, pemandu Perodua Alza, Mohd Lutfi Radzi, 37, bersama isteri serta dua anaknya terbabit dalam nahas dengan  sebuah bas yang membawa 42 orang penuntut UPSI di Gerik, Perak.

Nahas terbabit meragut 15 nyawa penuntut UPSI yang berusia lingkungan 21 hingga 23 tahun, yang dikatakan dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju Tanjung Malim.

Mengulas lanjut mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan penggunaan bas dalam kalangan murid sekolah semasa lawatan, Fadhlina berkata,  pihaknya telah menetapkan SOP terperinci berkaitan pelaksanaan lawatan sekolah, seperti yang telah dijelaskan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 9 Tahun 2023.

Jelas beliau, SPI tersebut merangkumi panduan menyeluruh mengenai aspek keselamatan murid, tujuan lawatan, proses permohonan, dan pelaksanaannya yang melibatkan empat peringkat: perancangan, sebelum, semasa dan selepas lawatan.

“Kita sudah ada SOP yang jelas dan ketat. Ia termasuk keperluan memohon kebenaran lebih awal, memastikan lawatan tamat sebelum jam 12 tengah malam, serta pematuhan syarat-syarat tertentu sekiranya program melibatkan penginapan.

“Selain itu, semua guru pengiring, ibu bapa dan ahli rombongan diwajibkan mematuhi arahan serta garis panduan sedia ada. Kenderaan yang digunakan pula mesti melepasi pemeriksaan dan memenuhi spesifikasi keselamatan yang ditetapkan.

“KPM akan terus menegaskan pematuhan SOP ini kepada semua pihak sekolah dan guru-guru yang terlibat melalui peringatan berkala,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast