NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan penilaian serta-merta terhadap tahap kerosakan bangunan pentadbiran Sekolah Menengah (SM) Sains Alam Shah di Cheras, Kuala Lumpur yang musnah dalam kebakaran hari ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian untuk turun padang dan menjalankan penilaian menyeluruh bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat disalurkan segera.
Katanya, sebarang bentuk bantuan akan disalurkan secepat mungkin bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran tidak terganggu.

“Kita akan ambil tindakan segera. Pertama, kita bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa, dan kedua, kita akan pastikan semua warga sekolah, khususnya para pelajar dan guru, berada dalam keadaan selamat.
“Penempatan sementara juga akan diuruskan bagi membolehkan pembelajaran diteruskan dalam suasana yang kondusif.
“Walaupun insiden yang berlaku kira-kira jam 4.15 pagi itu tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa, aspek keselamatan serta kebajikan guru dan pelajar tetap menjadi keutamaan KPM,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Sambutan Pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam di Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu media melaporkan Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur mengesahkan keseluruhan tingkat satu bangunan pentadbiran SM Sains Alam Shah dengan keluasan 2,740 meter persegi terbakar 100 peratus.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut dan kebakaran dipadam sepenuhnya pada jam 6.18 pagi.
Punca kebakaran masih dalam siasatan unit forensik kebakaran. – MalaysiaGazette
















