Mesyuarat Ahli-Ahli Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat AIPA Mengenai Dadah Berbahaya ​(AIPACODD​) ke-8 yang berlangsung di sini, hari ini

KUANTAN – Mesyuarat Ahli-Ahli Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat AIPA Mengenai Dadah Berbahaya ​(AIPACODD​) ke-8 yang berlangsung di sini, hari ini memberi tumpuan kepada tiga isu utama.

Menurut Presiden AIPA, Tan Sri Datuk Dr. Johari Abdul, ia melibatkan isu penyalahgunaan dadah, jenayah siber serta pemerdagangan manusia yang menjejaskan semua negara ASEAN.

“Dadah akan terus menjadi fokus utama kerana ia adalah ancaman terbesar yang bukan sahaja mendatangkan kesan kepada individu, tetapi juga merosakkan keluarga dan masyarakat.

“Kita juga tidak boleh pandang ringan tentang pemerdagangan manusia kerana ia bukan sahaja menjejaskan keselamatan negara, tetapi juga mencemarkan imej kita di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tan Sri Johari Abdul Ghani (kanan) bersama Yang Dipertua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin melawat reruai pameran sempena Mesyuarat Ahli-Ahli Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat AIPA Mengenai Dadah Berbahaya ​(AIPACODD​) ke-8 yang berlangsung di sini, hari ini

 

 

Beliau berkata demikian ketika kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat AIPACODD ke-8 di sebuah hotel di sini pada hari ini.

Terdahulu, Johari dalam ucapannya berkata, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) melaporkan rampasan dadah haram sebanyak 236 tan di seluruh Asia Timur dan Asia Tenggara pada tahun 2024 dengan peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Selain itu, UNODC turut menganggarkan bahawa penipuan siber telah menjana antara USD18 bilion hingga AS$37 bilion dalam hasil jenayah pada 2023.

“Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pula melaporkan lebih 11 juta orang dianggarkan menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Asia Pasifik dan data ini satu peringatan tegas tentang kos kemanusiaan di sebalik jenayah,” katanya lagi.

Menyentuh hukuman gantung bagi kesalahan berkaitan dadah pula, Johari berkata, pendekatan itu dan hukuman penjara semata-mata tidak memadai untuk menyelesaikan masalah yang semakin meruncing.

Beliau menegaskan perbincangan harus dibuat secara lebih mendalam dan data yang tepat perlu dikongsikan supaya Ahli Parlimen dapat menggubal undang-undang, bukan hanya memanjangkan penderitaan masyarakat.

Sesi perbincangan yang berlangsung selama dua hari di negeri ini akan membincangkan mengenai transformasi peranan AIPACODD dalam menangani jenayah rentas sempadan serta penyediaan dan pengesahan draf resolusi mesyuarat.

Johari berkata, resolusi yang diluluskan pada mesyuarat kali ini akan menjadi panduan penting bagi setiap negara anggota untuk memperkukuhkan usaha memerangi isu-isu berkenaan.

“Resolusi yang diluluskan ini menjadi asas kepada tindakan kita seterusnya supaya semua negara anggota dapat bergerak dalam satu hala tuju,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast