Proses melapah dan bungkusan daging korban dilakukan oleh warga UTHM.

BATU PAHAT – Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), baru-baru ini telah mengorbankan 24 ekor lembu dan 11 ekor kambing untuk diagihkan kepada golongan asnaf, warga kampus serta komuniti setempat.

Program Korban UTHM 2025 yang dilaksanakan di rumah sembelihan sementara Masjid Sultan Ibrahim UTHM itu telah diselaraskan oleh Pusat Islam, dengan bantuan 70 sukarelawan terdiri daripada staf dan penduduk sekitar.

Lebih bermakna, UTHM turut menerima sumbangan seekor lembu dari pihak RHB Bank Berhad.

Menurut Pengarah Pusat Islam, Shafry Salim, lebih 2000 kilogram daging diagihkan pada program korban kali ini.

“Lebih 700 kilogram daripada jumlah tersebut diagihkan kepada golongan asnaf, manakala bakinya diagihkan kepada peserta korban, staf, pelajar dan penduduk sekitar,” katanya

Tambah beliau, antara kumpulan yang menerima agihan pada kali ini adalah asnaf dari beberapa kampung sekitar UTHM, Madrasah Darul Hufaz Al-Imtiyaz, penduduk Orang Asli di Parit Sulong, pekerja kontrak pembersihan di UTHM, pekerja Southern Waste Management (SWM) Seri Gading, serta asnaf dari kariah Masjid Riyadus Solihin Parit Raja.

UTHM menganjurkan program korban saban tahun bertujuan menyemarakkan lagi sambutan Aidiladha peringkat universiti, sekali gus sebagai tanda prihatin dalam menyalurkan sumbangan secara langsung kepada mereka yang memerlukan.

“Selain merupakan salah satu ibadah yang dituntut oleh agama Islam, pelaksanaan program ibadah korban ini juga diharap dapat menyemai semangat kerjasama serta mempereratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan staf universiti dan penduduk setempat,” ujar Haji Shafry. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast