KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu sebuah pusat hiburan tumpuan pandatang asing tanpa izin (PATI) dikenali sebagai kelab ‘dugem’ di kawasan Pudu, di sini, awal pagi semalam.
Serbuan pada jam 2 pagi itu dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya selama dua minggu.
Menurut JIM, berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi dengan kekuatan seramai 129 pegawai pelbagai pangkat telah diatur gerak ke pusat hiburan tersebut yang turut disertai 11 pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Jelasnya, seramai 310 individu yang terdiri daripada 128 lelaki dan 116 perempuan warga asing serta 66 warga tempatan diperiksa dalam operasi itu.
“Hasilnya seramai 185 warganegara Indonesia yang terdiri daripada 106 lelaki dan 79 wanita, dua warganegara Kemboja iaitu seorang lelaki dan seorang wanita serta satu lelaki warganegara Nepal berumur di antara 21 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah JIM, antara kesalahan yang dikenalpasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah. Kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen KLIA dan
Lenggeng untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Jelasnya, JIM turut mengeluarkan lapan saman kepada saksi terhadap penyelia dan penjaga premis serta seorang wanita yang bertindak sebagai DJ (deejay) di pusat hiburan tersebut.
“Modus operandi pusat hiburan tersebut adalah dengan menyajikan DJ (deejay) warga tempatan dan asing dengan memutarkan musik ‘dugem’ bagi menghiburkan warganegara asing terutama dari Indonesia,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu, premis berkenaan memulakan aktiviti perniagaan bermula jam 11 malam hingga 5 pagi.
Tambahnya, ketika serbuan dibuat, warga asing terbabit sedang leka melayan irama ‘dugem’ yang dimainkan oleh deejay jemputan di kelab tersebut.
Katanya, kesemua warga asing tersebut ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette
















